Bukan politik ‘Taliban’


SAYA amat menyesali kenyataan Adun Mengkibol beberapa hari lalu. Lebih-lebih lagi ia datang daripada mulut seorang ahli politik dan wakil yang dipilih oleh rakyat ke institusi demokrasi tinggi negeri. Naratif ini dikongsi oleh pembuat dasar Pakatan Harapan lain.

Mereka berfikir bahawa penyatuan PAS dan Umno akan menjadikan negara ini tidak stabil, tidak toleran dan akan merugikan perpaduan nasional.

Kesepakatan yang terbukti

Politik orang Melayu-Islam telah terbukti melindungi kepentingan semua pihak, sebelum dan pasca kemerdekaan negara lagi.

Melalui prinsip konsensus dan perbincangan, parti Perikatan atau Barisan Nasional telah melakukan sebaik mungkin keadilan kepada semua bangsa dan agama, tanpa mengurangkan sedikit pun hak-hak asasi kaum India atau Cina.

Ia telah terbukti selama lebih enam dekad kita diperintah Barisan Nasional. Anak-anak kaum India dan Cina diberikan pendidikan, pekerjaan dan peluang untuk memajukan diri dan nasib mereka.

Ya, mungkin ia tidak sempurna, tetapi jika politik Melayu-Islam ini adalah politik ‘taliban’ dan ekstrim, maka tidak akan ada seorang pun anak-anak selain Melayu yang berpendidikan tinggi dan berharta.

Tidak faham Melayu

Kenyataan Adun Mengkibol tentang penyatuan politik Melayu Umno-PAS akan menghasilkan naratif berkisar agama dan bangsa akan menyebabkan tindakan yang ekstrim dan ganas sama seperti tragedi di New Zealand, beberapa hari lalu, merupakan kenyataan yang salah.

Orang Melayu mempunyai semangat toleransi dan bersangka baik yang tinggi terhadap perbezaan. Politik mereka adalah politik beradab dan tidak pernah menyinggung serta menyakiti. Politik Melayu-Islam adalah politik yang menjaga dan menghormati.

Namun begitu, jika hak dan identiti mereka tidak dibela, jika ekonomi, pendidikan dan institusi mereka saban hari diancam dan disindir-sindir, maka api ketidakpuasan akan membara.

Saya percaya kepada politik Melayu-Islam yang bertanggungjawab. Saya percaya kepada konsensus dan perkongsian kuasa. Saya percaya, pemimpin Melayu-Muslim dalam Umno adalah amat moderat. Mereka memperjuangkan nasib bangsa mereka tanpa mengetepikan bangsa lain.

Itulah model politik yang telah membangunkan negara kita berdekad lamanya. Ia tidaklah sempurna, tetapi dalam ketidaksempurnaan ini, kita telah memberikan hak kepada yang sepatutnya.

Politik baharu MIC

Teringat saya kata-kata presiden MIC kelima, V.T Sambanthan: “This is a country of various communities, brought together by political, social and economic reasons. Let us live as brothers, the tradition of Malaya are the highest tradition; the tradition of brotherhood, of happy and peaceful living amongst each other.”

Sebagai pengerusi MIC Negeri Johor, saya akan bekerja demi kepentingan masyarakat India. MIC akan menjadi rakan pengimbang dan rakan kongsi kuasa bersama Umno dan PAS semata-mata untuk menegakkan nasib bangsa kita.

Kini adalah masa yang sesuai untuk ahli-ahli parti sendiri bersatu atas kepentingan bersama, meskipun wujud permasalahan, kesilapan dan perselisihan pada masa lalu. Berubahlah.

Walaupun wujud pelbagai kerjasama politik, samada sekarang mahupun pada masa akan datang, kita tidak sama sekali akan mengenepikan kepentingan, kebajikan dan kemakmuran bangsa sendiri demi pengejaran kuasa. Parti MIC akan menjadi lebih fokus, berjuang untuk untung rugi kaum India di Malaysia dan Johor khususnya.

Wujud cakap-cakap belakang bahawa undi kaum India tidak penting lagi. Ini adalah tidak tepat. Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, pecahan pengundi India di serata negeri adalah tidak sekata, dan tidak pula melebihi 20%.

Jika dicampur semua undi orang Melayu, sama ada penyokong PAS mahupun Umno sekali pun, undi masyarakat India tetap diperlukan untuk memenangi beberapa kerusi DUN di Johor. Maka orang India tidak perlu berasa segan dan rendah diri. Mereka tetap penting.

Fakta yang membimbangkan

Dalam keadaan orang India masa kini, dari sudut ekonominya masih marginal, hanya sebuah parti politik khusus dapat memajukan bangsa kita sendiri. Bukan DAP yang tidak berkhidmat secara rasmi untuk masyarakat India semata-mata.

Seperti contoh, menurut Penasihat Ekonomi Dr Mahathir, Dr Muhammed Abdul Khalid, remaja Cina yang berumur 20 tahun adalah lebih kaya daripada remaja kaum Bumiputera dan kaum India, pada umur yang sama. Ini kerana remaja Cina telah mewarisi aset hartanah daripada keluarga mereka. Yang demikian, dan atas faktor-faktor lain juga, menjadikan majikan dan pekerja Bumiputera dan India (bergabung) mempunyai kekayaan lebih rendah daripada pekerja kaum Cina.

Untuk memajukan kaum India, kita perlu political will. Kita perlu kerjasama dan sinergi rentas parti dan etnik. Kita tidak dapat melakar naratif baru pembangunan sesuatu kaum hanya dengan bekerja secara bersendirian. Mungkin bagi DAP, politik Melayu - Islam adalah politik rasis, ekstrim dan ‘taliban’.

Tetapi bagi kami, ia adalah asas kepada apa yang Malaysia kecapi hari ini. Ia adalah asas untuk nasib kaum lain dibela. Masakan sebuah pokok itu subur tanpa akar yang membumi? – 19 Mac, 2019

* R Vidyananthan, merupakan Adun Kahang merangkap pengerusi MIC Negeri Johor. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen