AHLI Parlimen Tanjong Karang Noh Omar mempersoalkan tindakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming menggantungnya dari Dewan Rakyat hari ini, sedangkan keputusan itu sekiranya wajar perlu dibuat semalam.
Menurut Noh, tindakan itu tidak patut diambil sehari selepas kejadian, sebaliknya perlu dibuat ketika beliau bertegang urat dengan Nga semalam.
Berdasarkan Peraturan 44 Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, speaker bertugas harus membuat ketetapan itu semalam sewaktu kehadiran ahli Parlimen berkenaan, dan selepas mendengar penjelasan daripada ahli Parlimen itu, kata Noh.
“Saya digantung tiga hari tanpa pengetahuan saya, kalau nak gantung saya sepatutnya semalam.
“Kalau beliau (Nga) rasa saya hina Dewan dan tak patuh arahan, semalam patut gantung. Kenapa hari ini, dan kenapa beliau seperti tidak sabar-sabar sangat nak gantung saya, sepatut saya kena ada dalam Dewan,” kata Noh semasa sidang media di Parlimen, hari ini.
Nga awal hari ini menggantung kehadiran Noh selama tiga hari, ekoran tindakan Ahli Parlimen Tanjong Karang itu mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan timbalan speaker itu mendakwa Malaysia akan jadi seperti Agfhanistan di bawah Taliban sekiranya kerjasama Umno dan PAS membawa kepada dua parti itu memerintah.
Dalam sidang medianya, Noh tetap bertegas beliau akan hadir sidang Dewan Rakyat.
“(Selepas ini) saya masuklah, saya tidak tahu atas peraturan mana (saya digantung), takkan boleh jatuh hukuman orang dituduh tidak ada dalam Dewan.
“Saya sudah enam penggal di Parlimen, saya tahu buku peraturan, takkan saya dijatuh hukum tanpa keadilan.
“Inilah standard Parlimen Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH),” kata Noh.
Noh turut menafikan beliau ponteng sidang Parlimen sewaktu Nga membuat keputusan itu.
“Saya kata boleh semak, saya tidak pernah ponteng sidang, sama ada masuk Dewan pagi atau petang, itu bukan ponteng,” kata Noh lagi.
Beliau turut menggesa Nga meletak jawatan sebagai timbalan speaker kerana didakwa menghina Dewan Rakyat.
“Timbalan speaker yang hina dewan, tidak berani berkata benar di Dewan, sepatutnya dia letak jawatan kerana hina Dewan,” katanya lagi.
Dewan Rakyat kecoh pagi tadi apabila ahli-ahli Parlimen pembangkang daripada PAS dan Umno bertindak meninggalkan sidang selepas Nga menggantung Noh.
Kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Noh kemudiannya memasuki Dewan Rakyat, dan mempersoalkan tindakan berkenaan.
Tindakan itu kemudiannya menyaksikan beberapa ahli Parlimen PH menggesa Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon bertindak terhadap Noh.
Rashid kemudiannya menangguhkan sidang Dewan Rakyat untuk memberi laluan waktu rehat pada pukul 1 petang. – 19 Mac, 2019.
Komen