Umno tetap saman wakil rakyat lompat parti, kata Annuar Musa


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata parti sudah melantik firma guaman terkemuka untuk meneruskan tindakan saman terhadap bekas ahli Parlimennya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac, 2019.

UMNO tetap akan menyaman bekas wakil rakyatnya yang keluar parti, kata setiausaha agungnya Annuar Musa

Malah parti sudah melantik firma guaman terkemuka untuk meneruskan tindakan berkenaan, katanya.

“Saman akan diteruskan, saya sudah berbincang dengan Tok Mat Hasan (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan) dan bendahari untuk elak kekeliruan.

“Saya sudah sahkan, dengan peguam yang kendalikan kes, satu lagi firma guaman besar yang dipersetujui akan dilantik.

“Kita juga akan serah senarai nama penuh ahli parlimen dan Adun yang melompat keluar dari Umno,” kata Annuar, kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Beliau menafikan laporan The Malaysian Insight semalam Umno tidak bercadang meneruskan tindakan saman itu kerana masalah kos yang tinggi.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan Umno tidak meneruskan saman terhadap bekas wakil rakyatnya yang kini menyertai Pakatan Harapan untuk mengelak menanggung kos tinggi.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Mohamad enggan meneruskan tindakan tersebut dan sebaliknya mahu fokus kepada penstrukturan dalaman parti.

“Tok Mat berpendapat adalah lebih penting pada waktu ini Umno fokus dengan mengukuhkan parti itu sendiri.

“Selain daripada itu, faktor kos juga menjadi pertimbangan utama,” kata sumber yang terlibat dalam proses perundangan ini.

Saman itu dimulakan sebelum Ahmad Zahid Hamidi yang kini sedang bercuti, sebelum tugas presiden parti itu disandang oleh Mohamad.

Zahid mengumumkan bahawa Umno menghantar writ saman ke atas wakil rakyat terbabit sewaktu menyampaikan ucapan dasar presiden sempena perhimpunan agung parti September lalu.

Umno yang menang 54 kerusi Parlimen dalam PRU14 lalu kini hanya tinggal 37 kerusi selepas 17 ahli Parlimennya bertindak keluar parti. – 19 Mac, 2019.




 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen