KESAN daripada terdedah kepada sebahagian bahan kimia yang ditemui dalam sisa toksik di Sg Kim Kim di Pasir Gudang, Johor mungkin tidak dapat dilihat serta-merta, kata pakar.
Mereka berkata terdedah kepada sisa toksik mungkin mempunyai kesan kesihatan yang terpendam kerana simptom fizikal mungkin hanya bermula selepas tempoh masa tertentu.
Dr T. Jayabalan dari Pusat Racun Negara berkata terdapat kesan jangka pendek yang dapat dikesan serta-merta dan kesan jangka panjang yang mengambil masa untuk dikesan.
“Masalahnya ialah dalam jangka pendek, anda serta-merta dapat tahu bila ada yang jatuh sakit. Boleh cepat-cepat bawa ke hospital dan boleh dirawat.
“Tetapi dalam jangka panjang, sesetengah kelas (kimia) cenderung untuk membahayakan pesakit,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata sesetengah partikel mungkin melekat pada badan seseorang dan malah boleh menjadi penyakit keturunan.
Katanya, kesan daripada terdedah kepada kimia itu tidak terhadap kepada manusia saja tetapi juga haiwan di dalam laut, yang akhirnya menjadi makanan manusia.
Dr Jayabalan berkata bahan kimia yang diklasifikasikan di bawah Jadual II(2) Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000, di mana termasuk Benzin, boleh membawa kesa yang serius.
“Di dalam Jadual adalah bahan yang berpotensi menyebabkan kanser, masalah kesuburan dan kecacatan,” katanya.

Benzin antara bahan kimia dikenal pasti dalam sisa toksik ditemui di Sungai Kim Kim, selain metana, hidrogen klorida, akrilonitril, akrolen, benzin, toluene, xilena dan limonina.
“Benzin bahan kimia yang boleh membawa maut. Ia karsinogen, ia menyebabkan leukemia dan dalam sesetengah kes ia tidak menunjukkan kesan serta-merta, ia ambil masa untuk menunjukkan dirinya,” katanya.
Dr Jayabalan pernah menyiasat kesan kepada kesihatan akibat radiasi dari loji nadir bumi Mitsubishi di Bukit Merah pada 1980-an, yang dikatakan menyebabkan masyarakat di situ menderita leukemia dan kecacatan kelahiran.
Sementara itu, Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim) Dr Ahmad Shukri Ismail berkata dedahan kepada benzin dan toluene bagi tempoh masa panjang boleh menyebabkan kematian.
Dr Ahmad berkata kebanyakan bahan kimia yang dikenal pasti berpotensi merosakkan kesihatan.
Namun, sama ada kesannya kronik atau akut, akan bergantung pada tempoh masa dan dos dedahan diterima individu berkenaan.
Serangan panik
Beliau berkata ramai mangsa di Sg Kim Kim boleh terkena serangan panik.
“Dilaporkan gas hidrogen sianida turut dikesan. Ini sangat beracun,” kata Dr Ahmad.
Susulan penemuan di tapak pencemaran di pasir Gudang, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Yahaya Madi dipetik berkata terdapat gas hidrogen sianida dikesan di kawasan itu.
Bagaimanapun, Yahaya berkata campuran itu kesan daripada tindak balas kimia komponen sisa itu dan tidak berbahaya seperti sianida asli. Kadar bacaan diambil juga menunjukkan kehadiran gas itu bukan pada paras bahaya. – 19 Mac, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen