SEORANG pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dua lagi individu akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok, menurut sumber agensi anti rasuah.
Ia susulan penahan yang dibuat selepas siasatan yang digiatkan sepanjang bulan lalu melibatkan penggeledahan ke pejabat kerajaan dan firma swasta di beberapa buah negeri.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pengarah berkenaan mengetuai satu bahagian pembangunan dalam SSM.
Dua lagi masing-masing merupakan seorang pegawai kanan SSM dan seorang pelabur dalam sebuah syarikat teknologi maklumat, katanya.
Difahamkan, syarikat teknologi maklumat terlibat adalah salah sebuah anak syarikat Pos Malaysia Berhad.
Sumber berkata, tiga individu berusia 37 hingga 55 tahun itu ditahan agensi anti rasuah di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara jam 11 pagi hingga 2 petang hari ini.
Ketiga-tiga individu berkenaan ditahan berkaitan kes penipuan penggunaan sistem yang tidak mengikut Akta Tandatangan Digital 1997, kata sumber.
“Hasilnya telah membawa kerugian kepada kerajaan sebanyak RM30 juta antara tahun 2017 hingga 2018,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Difahamkan, ia merupakan siri tangkapan pertama dalam siasatan dijalankan SPRM ke atas SSM.
Ia ekoran daripada siasatan SPRM ke atas ke atas pemberian projek Sistem Laporan Perniagaan Malaysia bernilai RM500 juta.
Ia didakwa diberikan secara langsung kepada syarikat Formis Network Services Sdn Bhd.
Satu lagi kes yang disiasat SPRM adalah kes perolehan dan pembelian bangunan pejabat bernilai RM30 juta di Sarawak dan skandal melibatkan projek bawah Koperasi SSM.
Semua projek yang disiasat itu didakwa diberikan tanpa melalui proses tender dari 2014 hingga 2018.
Operasi itu digerakkan susulan gesaan satu pertubuhan masyarakat yang menyenaraikan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dalam SSM.
Memorandum itu mendakwa beberapa projek SSM diberikan kepada individu dan syarikat yang sama.
Memorandum itu turut menyenaraikan maklumat dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin, yang mendedahkan dakwaan kelemahan SSM. – 18 Mac, 2019.
Komen