TIGA etnik Rohingya yang melarikan diri daripada kekejaman di negeri Rakhine terbunuh selepas dipercayai terkena periuk api yang dipasang berhampiran sempadan Bangladesh, kata pegawai pengawal sempadan Bangladesh memetik mangsa yang terselamat.
Ketua Pengawal Sempadan Bangladesh, Leftenan Kolonel Manzurul Hasan Khan memberitahu AFP, pasukannya terdengar bunyi letupan pada malam Sabtu kira-kira 100 meter dari sempadan.
“Kami difahamkan oleh mangsa yang terselamat terdapat empat dalam kalangan mereka. Mangsa itu berkata tiga lagi mati di tempat kejadian kerana letupan – yang dipercayai daripada periuk api,” kata Khan kepada AFP.
Katanya pengawal sempadan terlihat mangsa yang selamat datang ke garis penandaan sempadan dengan beberapa kesan kecederaan pada badan dan muka.
Seorang lagi etnik Rohingya turut tercedera selepas terkena letupan yang dipercayai daripada periuk api di lokasi yang sama selepas dia pulang ke kampungnya untuk mengambil lembu ternakan yang ingin dibawa ke Bangladesh.
Minggu lalu, dua Rohingya termasuk seorang kanak-kanak yang hancur kedua-dua belah kakinya manakala seorang lagi cedera selepas terpijak alat yang disyaki periuk api berhampiran sempadan.
Bangladesh pada Rabu menggesa duta Myanmar untuk membantah penanaman periuk api di sepanjang sempadan.
Kumpulan bantuan dan pegawai kerajaan Bangladesh berkata, pihak Myanmar menanam periuk api di sepanjang sempadan bagi menghalang etnik monoriti Rohingya dari kembali ke negara itu.
Ia merupakan kali kedua gesaan tu dibuat oleh Dhaka kepada kedutaan terbabit sejak tercetus keganasan di Rakhine yang mencetuskan krisis pelarian, dengan 249,000 orang membanjiri sempadan sejak 25 Ogos lalu.
Amnesty International berkata, pasukan keselamatan Myanmar menanam periuk api yang diharaman di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan temubual yang dibuat dengan saksi dan penganalisis, Amnesty berkata pemasangan periuk api di sepanjang barat laut sempadan dengan negeri Rakhine mempunyai tujuan tertentu.
“In merupakan satu lagi kekejaman selepas situasi teruk yang berlaku di negeri Rakhine,” kata Pengarah Tindak Balas Krisis Amnesty Tirana Hassan yang berada berdekatan sempadan. – AFP, 10 September, 2017.
Komen