Tak semua parti BN terpengaruh penjelasan Hadi


Desmond Davidson Looi Sue-Chern

Penegasan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semasa membentangkan RUU355 semalam yang pindaan terhadap undang-undang Syariah tidak akan menjejaskan bukan Islam masih tidak diyakini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 April, 2017.

SEMALAM adalah hari PAS. Mereka mempunyai hampir tiga jam untuk menjelaskan rasional di sebalik RUU355 kepada ahli Dewan Rakyat.

Walaupun penjelasannya panjang, beberapa parti gabungan Barisan Nasional (BN) masih tidak yakin usul persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU355 untuk diteruskan.

Pada asasnya, mereka tidak percaya penegasan ahli Parlimen PAS dan presiden parti Abdul Hadi Awang yang bukan Islam tidak akan terjejas jika ia diterima.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ti Lian Ker berkata partinya tidak berpuas hati, terutama dengan jaminan Hadi yang bukan Islam tidak akan terjejas.

“Ada juga persoalan masih tidak terjawab, iaitu kod prosedur jenayah Syariah. Dan juga mengenai keperluan bercakap tentang mempunyai empat orang saksi kepada jenayah seperti rogol.

“Kami tegas dengan pendirian terhadap pindaan yang dicadangkan itu, dan akan terus menentang sehingga ada jaminan yang boleh mengubah fikiran kami,” kata Ti kepada The Malaysian Insight.

Ketua Wanita parti Cina itu, Heng Seai Kee berkata ia  tidak adil untuk mempunyai hukuman berbeza bagi jenayah.

“Ini bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kesamarataan untuk semua orang di bawah undang-undang.

“Tiada siapa harus didiskriminasikan kerana agama apabila ia melibatkan undang-undang,” katanya, sambil menambah terdapat juga kebimbangan umat Islam mungkin berasa mereka dilayan secara tidak adil dan kemudian meminta hukuman Syariah yang sama dikenakan kepada semua pihak.

“Lihatlah Brunei. Undang-undang Syariahnya terpakai bagi semua rakyat. Ada kemungkinan ia boleh berlaku di sini jika rang undang-undang itu diluluskan.”

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang juga mempunyai kebimbangan mengenai rang undang-undang Hadi. Beliau berkata ia masih tidak jelas apa yang akan berlaku dalam kes di mana pesalah dan mangsa berlainan agama.

“Dalam kes melibatkan kedua-dua bukan Islam dan Islam, undang-undang mana yang akan digunakan? Saya tidak fikir ini ditangani dengan baik oleh PAS semalam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tan, seorang peguam, juga menyatakan ia tidak dinyatakan dengan jelas jenis jenayah bagi hukuman lebih berat yang dicadangkan dalam rang undang-undang Hadi.

“Saya rasa ia akan terpulang kepada negeri, seperti Kelantan, untuk membuat keputusan dan membuat pindaan negeri masing-masing.”

Timbalan Menteri Dalam Negeri Sarawak Masir Gujat berkata, partinya Rakyat Sarawak (PRS) masih akan menentang rang undang-undang itu.

“Mungkin ada kebenaran apa yang dikatakan Hadi tetapi saya masih tidak yakin mengapa kita perlu meminda akta itu.

“Jika rang undang-undang itu melepasi peringkat undian, tidak kira apa hujah Hadi sampaikan, saya akan mengundi menentangnya.

“Saya juga perlu mematuhi arahan dan kedudukan parti,” kata ahli Parlimen Sri Aman, tetapi menambah secara peribadi, beliau tidak yakin dengan hujah Hadi.

“Saya bimbang akan kesan undang-undang itu kepada bukan Islam. Apa yang kita (PRS) takut, ia akan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan permulaan kepada undang-undang hudud.”

Masir berkata antara sekarang dan sebelum Parlimen bersidang pada Julai, beliau percaya parti itu akan mengkaji semula hujah Hadi dan pendiriannya.

Speaker Pandikar Amin Mulia menangguhkan sesi die sinus, menyebabkan kegemparan di dalam Dewa, kerana ahli Parlimen pembangkang mengadu mereka tidak diberi peluang untuk membahaskan rang undang-undang itu. – 7 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen