.jpg)
BEBERAPA hari sudah kita mendengar berita mengenai insiden keganasan di Christchurch, New Zealand.
Brenton Tarrant, pengganas yang dikenal pasti melakukan tindakan tersebut dengan kejam sengaja merakam secara “live” perbuatannya di media sosial seolah-olah mahu satu dunia melihat tindakannya.
Beberapa ketika sebelum keganasan tersebut berlaku, sebuah fail 74 halaman yang dinamakan “The Great Replacement” dimuat naik untuk menjustifikasikan tindakan Tarrant.
Secara ringkas, alasannya mudah, Tarrant merasakan negerinya sedang ditakluki oleh orang asing. Dia merasakan perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan negerinya ditakluki.
Malah, Tarrant begitu berbangga menyebut kalimat etno-nasionalis merujuk kepada dirinya dan mempunyai wawasan untuk menubuhkan sebuah negara yang hanya diduduki oleh orang Eropah atau kulit putih saja.
Sedikit sebanyak, melalui sedikit pembacaan dan pemahaman, Tarrant terhidu racun-racun demokrasi yang dihirupnya beberapa masa sebelum keganasan tersebut berlaku. Racun demokrasi ini datangnya daripada pemimpin-pemimpin ekstremis kulit putih yang menjadi inspirasi kepada tindakannya.
Oswald Mosley (seorang fasis), Candace Owens (pro-Trump) dan Donald Trump (nasionalis kulit putih) antara nama-nama yang disebut di dalam manifesto tersebut, yang didakwanya mempunyai pandangan yang seangkatan dengan Tarrant. Apakah corak persamaan yang boleh kita lihat daripada ketiga-tiga individu ini?
Ketiga-tiga individu ini merupakan produk daripada demokrasi itu sendiri. Ya, mereka wujud dalam sistem demokrasi, mempunyai pengikut, dan yang paling penting, ucapan-ucapan mereka mencapah disebabkan keraian kebebasan bersuara sehingga menggugat keharmonian manusia di dalam satu wilayah yang pelbagai manusia hidup di dalamnya.
Cukuplah untuk dikatakan persamaan lainnya adalah ketiga-tiga mereka ini tidak suka kepada bangsa lain yang hadir ke negeri mereka dan sentiasa memperlekehkan bangsa lain.
Dari satu sudut, mereka merasakan bahawa mereka perlu berbuat sesuatu untuk mengembalikan kegemilangan negara mereka, namun dengan cara yang salah, iaitu bersifat eksklusif dengan kaum/etnik lain yang hidup bersama-sama dengan mereka.
Demokrasi yang baik sewajarnya tidak perlu mengundang perasaan prejudis terhadap sesama warganegaranya, perlu lebih demokratik untuk memastikan kebajikan setiap warganegara terjamin, dan saling empati terhadap setiap warganegara.
Namun, ketiga-tiga individu ini sering mengucapkan perkataan-perkataan kebencian terhadap kaum lain, melemparkan perang perkataan sehingga menimbulkan kemarahan orang lain, dan memujuk pengikut mereka agar mendengar kata-kata mereka bahawa bangsa selain daripada mereka adalah ancaman kepada ekonomi dan budaya setempat.
Kepada siapakah impaknya ditumpahkan? Tarrant antara individu yang merasa terpanggil setelah dilunakkan dengan ucapan, pujukan, rayuan daripada politikus-politikus ini, lantas terjadinya insiden keganasan yang meragut setakat ini 50 nyawa di masjid tersebut.
Dalam hal ini, demokrasi itu tidaklah bersalah sepenuhnya, namun, sesuatu yang sewajarnya mengganggu fikiran kita sehingga ke hari ini adalah bagaimana kita membelai demokrasi itu? Adakah, ia dilenturkan seperti yang kita mahu, atau kita tidak mampu mengawalnya?
Dalam kes politik global, boleh dikatakan mutu demokrasinya sudah berkurangan. Kebencian sering dilemparkan terhadap imigran, dengan label-label seperti pengganas, penyangak, dan terma-terma negatif yang tidak selayaknya seorang manusia dipanggil.
Hal ini boleh dipersalahkan kepada elit-elit politik yang begitu radikal, ekstrem dan keterlaluan dalam persaingan untuk mengukuh dan mendapatkan kuasa sehingga sanggup memijak bangsa lain yang tidak sekulit dengan mereka.
Racun demokrasi yang sebenar adalah ideologi ekstrem yang menafikan kewujudan kedatangan kaum lain dalam sesebuah negara atas alasan mereka memberi ancaman budaya, ekonomi dan sosial.
Justeru, kita perlu merenung sejenak dan melihat apakah kita sudah sampai ke tahap yang sedemikian?
Saya berpendapat kebebasan itu datang dengan tanggungjawab, namun, tidak ramai yang berupaya menyulam kedua-duanya.
Kita boleh gembira dengan kebebasan bersuara yang diberikan, namun, ada masanya kita perlu berhenti dan berfikir, apakah kebebasan bersuara yang digenggam hari ini memberi sebuah kualiti yang baik kepada masyarakat?
Untuk mencari makna demokrasi yang baik, kita perlu mengawasi ahli masyarakat supaya tidak memujuk anggota masyarakat yang lainnya dengan pandangan dan sikap yang ekstrem.
Falsafah di sebalik ideologi yang ekstrem juga perlu dicakna supaya kita dapat memastikan warga masyarakat tidak dibelai dengan ucapan-ucapan yang mengundang sikap prejudis dan kekecewaan terhadap warga masyarakat yang berbeza kulit.
Ahli politik memang sukar untuk dinasihati, kerana memang tugasnya berlumba-lumba mendapatkan kuasa, namun, kita boleh menyahkan kerelevanannya dengan tidak melayan apa yang diujarkan.
Putuskan simpati terhadapnya dengan tidak membeli kata-kata kebencian, kata-kata pujukan atau fikirannya yang sentiasa menyalahkan kaum lain. Kita harus mengingati bahawa Malaysia merupakan negara majmuk, justeru, sikap eksklusif itu merupakan satu ketidakwajaran memandangkan kita semua adalah warganegara yang sah.
Moga-moga kita diselamatkan daripada dakyah ideologi ekstrem, sikap tidak bertoleransi dan perasaan iri hati sesama warga. – 18 Mac, 2019.
* Muhammad Faiz Kamaruddin ialah pelajar Sains Politik UKM.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen