Liow dakwa PAC cemar imejnya berhubung VEP


Khoo Gek San

Bekas menteri pengangkutan Liow Tiong Lai berkata, beliau masih belum menerima sebarang notis daripada jawatankuasa berkenaan untuk hadir pada siasatan berhubung penyelewengan VEP.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2019

BEKAS menteri pengangkutan Liow Tiong Lai mendakwa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mempunyai agenda politik untuk mencemar reputasinya dengan membuat kenyataan mengaitkan beliau dengan penyelewengan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) namun tidak memanggilnya untuk menjelaskan perkara itu.

Menurutnya, beliau masih belum menerima sebarang notis daripada jawatankuasa berkenaan untuk hadir pada siasatan berhubung penyelewengan VEP, dan percaya kenyataan yang diulang oleh jawatankuasa berkenaan adalah percubaan untuk mencemarkan imejnya.

Jawatankuasa itu pada awal tahun ini berkata akan memanggil Liow.

“Saya merasakan mereka (PAC) mempunyai motif politik untuk melakukan perkara ini. Mereka terus mengatakan akan memanggil saya, tetapi sebenarnya mreka tidak berikan saya peluang untuk beri penjelasan, ia seperti cuba mencemarkan nama saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ini tidak adil untuk saya. Sekiranya kamu ingin soal saya, tolong lakukan secepat mungkin. Mereka sudah mengatakan akan berbuat demikian kepada media banyak kali. Adakah ini cubaan untuk cemar nama baik saya?

“Sekiranya saya dipanggil ke PAC, saya akan jelaskan sendiri pada sidang media untuk buktikan saya tidak bersalah. Sekarang, saya tidak berpeluang untuk mempertahankan diri dan isu ini sudah dimanipulasi,” kata Liow.

Beliau berkata, tiada tindakan daripada PAC hanya memberi makna isu VEP setakat ini tiada apa-apa.

“VEP dianugerahkan mengikut prosedur, kerajaan sebelum ini tidak membayar apa-apa kepada TCSens Sdn Bhd, dan bayaran hanya dibuat selepas pelaksanaan, jadi kepentingan kerajaan dan rakyat tidak dikompromi,” kata Liow.

Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh sebelum ini berkata, jawatankuasa itu akan memanggil Liow untuk beir keterangan berhubung penyelewengan yang dikesan dalam penganugerahan VEP kepada TCSens.

Liow kemudian menafikan sebarang salah laku, dan berkata VEP dianugerahkan kepada syarikat itu selepas semakan dibuat dan peantikan itu juga disemak oleh Kementerian Kewangan.

“Saya sendiri telah melihat laporan Kementerian Kewangan syarikat itu, tiada sebarang masalah,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 mendedahkan sistem VEP antara Singapura dan Malaysia bernilai RM149.45 juta dianugerahkan menerusi rundingan langsung.

Salah satu kontraktor terlibat adalah TCSens, yang didapati tiada pengalaman dan hanya mempunyai RM35.54 dalam akaunnya yang mana ia sebaliknya memerlukan RM2.3 juta.

Bagaimanapun, Liow berkata laporan berkenaan tidak tepat kerana TCSens mempunyai satu lagi akaun yang mempunyai RM3 juta di dalamnya.

TCSens dikaitkan dengan bekas timbalan setiausaha agung MCA Wee Jeck Seng. – 18 Mac, 2019


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen