MASYARAKAT Berawan dan Penan di Sarawak yang memperjuangkan tanah perkuburan nenek moyang mereka dan tapak warisan daripada syarikat perladangan kelapa sawit, membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mulu, Gerawat Gala kerana gagal tunaikan janji untuk membantu mereka.
Aktivis hak tanah Berawan, Willie Kajan berkata, Gala telah berjanji semua kerja-kerja syarikat perladangan Radiant Lagoon di tanah berkeluasan 4,400 hektar di Tutoh Ipoh dihentikan serta merta.
Gala membuat janji itu pada 4 Mac di pejabat residen Miri, yang turut dihadiri oleh wakil daripada kedua-dua etnik yang menyuarakan keluhan mereka kepada Adun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Mana janji kamu untuk syarikat perladangan menghentikan kerja pembersihan tanah sehingga tanah perkuburan nenek moyang dan tapak warisan dikenal pasti dan ditandakan,” kata Kajan ketika ditemui pada sebuah forum di Kuching.
Beliau berkata, jentera berat masih beroperasi di tanah mereka walaupun selepas pertemuan dengan Gala pada 4 Mac. Tanah berkenaan telah dipajak oleh kerajaan negeri untuk penanaman kelapa sawit dan menutup wilayah adat asli Berawan dan Penan sebagai hak mereka.
“Kami bertanya kepada mereka mengapa kerja masih diteruskan, mereka menyatakan tidak menerima sebarang arahan untuk berhenti. Sama ada Gala tiada kuasa untuk menghentikan atau kata-katanya memang tidak berguna,” kata Kajan yang turut merakam pertemuan dengan Gala itu.
Radiant Lagoon merupakan syarikat terbaharu yang menjadi tumpuan berhubung perladangannya berhampiran Taman Negara Mulu, yang merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco. Syarikat itu menyatakan sempadan ladangnya tidak mencerobih taman berkenaan.
‘Hutan adalah hidup kami’
Ukau Lupung, ketua kampung di perkampungan Penan Batu Bungan berkata, kegagalan Gala menghormati keputusan yang dibuat akan memusnahkan harapan rakyat untuk masa depan.
“Kami tidak minta pampasan. Kami hanya mahukan tanah kami tidak diusik.
“Sekiranya tiada lagi balak, tiada lagi haiwan untuk diburu, hasil hutan untuk dipungut, maka masa depan masyarakat kami akan terjejas,” katanya.
“Hutan ini adalah hidup kami.”
Kajan yang berasal dari Kampung Melinau telah membuat laporan polis pada Februari terhadap Radiant Lagoon berkaitan pemusnahan tanah perkuburan Berawan dan Tering yang berusia 300 tahun di hutan itu.
Kumpulan aktivis alam sekitar Switzerland, Bruno Manser Fond (BMF) kini giat berkempen untuk Berawan dan Penan di peringkat antarabangsa.
Pengarah eksekutifnya Lukas Straumann berkata, NGO dari Amerika Syarikat, Mighty Earth minggu lalu telah mengambil langkah mengeluarkan amaran “tindak balas pantas” pada syarikat multi nasional dengan dasar pembasmian sifar yang membeli minyak sawit dari Double Dynasty, iaitu syarikat induk Radiant Lagoon.
Straumann berkata, apabila amaran itu dikeluarkan, syarikat yang menjual itu perlu mematuhi maklum balas aduan berkenaan dengan menjelaskan kepada pembeli dalam tempoh dua minggu.
Menurutnya, sekiranya Double Dynasty gagal menjelaskan amaran itu kepada pembeli dalam tempoh yang ditetapkan, pembelinya dengan dasar pembasmian hutan akan mematuhi arahan untuk hentikan pembelian daripada pembeli bagi mengelakkan pelanggaran dasar itu.
Straumann juga berkata BMF telah memberi tekanan kepada United Overseas Bank (UOB) untuk menarik balik pinjaman AS$31.775 juta yang dilanjutkan kepada Radiant Lagoon.
Beliau berkata, bank itu didakwa membiayai dana untuk kemusnahan hutan hujan tropika. – 18 Mac, 2019
Komen