BINTANG K-pop dan pelakon wanita Korea dilihat tergesa-gesa mengeluarkan penafian berhubung video seks yang dirakam secara diam-diam oleh penyanyi lelaki, menggambarkan ketakutan wanita terhadap stigma dalam menghadapi nilai konservatif yang kekal wujud di Korea Selatan.
Dalam tiga hari, tidak kurang daripada lima penyanyi lelaki K-pop, termasuk bintang terkenal Seungri, dikenal pasti sebagai penerima video lucah yang dibikin oleh penyanyi-penulis lagu Jung Joon-young dari perbuatan seksual beliau dengan beberapa orang wanita, yang dirakam tanpa persetujuan mereka.
Tiga daripada penerima video tersebut sedang disiasat polis, manakala empat yang lain telah mengumumkan persaraan mereka atau berhenti dari kugiran yang diahlihi mereka.
Terdapat spekulasi meluas dalam talian mengenai identiti mangsa-mangsa video lucah berkenaan.
Sekurang-kurangnya empat wanita telah mengeluarkan kenyataan berasingan menafikan mereka adalah orang dalam video tersebut. Aktres Oh Cho-hee mengatakan dalam akaun Instagram beliau, bahawa khabar angin itu “adalah tidak benar”.
“Saya tidak boleh beritahu berapa banyak panggilan yang saya terima sejak pagi ini,” katanya.
Kebanyakan ejen mereka - termasuk dua syarikat pengurusan terbesar K-pop, SM Entertainment dan JYP Entertainment - berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap khabar angin dalam talian yang “merosakkan reputasi dan imej mereka”
Ahli akademik dan aktivis mengatakan hakikat bahawa mereka dikenal pasti sebagai mangsa kesalahan berkaitan seks dianggap sebagai ancaman kepada status mereka sebagai wanita, menunjukkan wujud nilai-nilai tradisional dan kecenderungan untuk menyalahkan mangsa berhubung kejadian seumpama itu di Korea Selatan. – AFP, 17 Mac, 2019.
Komen