SETIAUSAHA Agung PBB Antonio Guterres berkata konflik ke atas program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara merupakan krisis terburuk dunia “selama bertahun-tahun” dan ia membimbangkan. Guterres berkata demikian dalam satu wawancara yang diterbitkan hari ini.
“Kita perlu berharap keseriusan ancaman ini meletakkan kita di landasan yang betul sebelum ianya terlambat,” kata Guterres.
“Ia (krisis) yang paling serius yang pernah kita hadapi beberapa tahun ini,” katanya yang mengakui ianya “amat membimbangkan”.
Guterres berkata yang menjadi persoalan utamanya ialah bagaimana mahu memastikan Korea Utara menghentikan program nuklear dan peluru berpandunya serta menghormati resolusi Majlis Keamanan PBB.
“Tetapi kita juga harus mengekalkan perpaduan Majlis Keselamatan tidak kira apa sekali pun kerana ini satu-satunya cara untuk melaksanakan inisiatif diplomatik dengan jayanya,” katanya.
Amerika Syarikat (AS) mahu Majlis Keselamatan mengundi untuk mengenakan sekatan lebih tegas terhadap Pyongyang esok, walaupun mendapat tentangan China dan Rusia.
AS mengemukakan satu draf resolusi menyeru kepada sekatan minyak terhadap Korea Utara, membekukan aset Kim Jong Un, pengharaman tekstil dan menghentikan gaji pekerja Korea Utara.
Sumber-sumber diplomatik berkata China dan Rusia menentang semua sekatan itu kecuali pengharaman tekstil. – AFP, 10 September, 2017.
Komen