Ubat rawat kesan racun sianida tak cukup, kata menteri kesihatan


Mohd Farhan Darwis

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengulas perkembangan terkini jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan akibat pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2019.

PASUKAN perubatan di Johor kini kekurangan bekalan ubat untuk merawat pesakit yang terkena kesan racun sianida, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, tiga daripada 10 bekalan sedia ada Cynokit sudah digunakan dan kementerian merancang untuk mendapatkan bekalan dari hospital lain di luar Johor, katanya.

Setiap Cynokit itu berharga RM6,000 setiap satu, katanya dalam sidang media di pusat rawatan bencana di Stadium Tertutup Pasir Gudang.

Sianida merupakan salah satu jenis racun

Beliau juga berkata jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan ekoran pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim itu terus menunjukkan trend penurunan hari ini.

Jumlah pesakit yang ditahan di wad menurun kepada 131 orang daripada 371 pesakit yang direkodkan pada pukul 9 pagi tadi, katanya.

“Daripada jumlah itu, seramai 65 pesakit dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala 66 pesakit lagi dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA),” kata Dr Dzulkefly.

Daripada jumlah itu, seramai lapan orang pesakit masih kekal berada di unit rawatan rapi, katanya.

“Setakat ini juga tiada pesakit yang memerlukan rawatan alat bantuan pernafasan,” katanya lagi ,

Beliau berkata, sehingga pukul 2 petang tadi, jumlah kes yang direkodkan sejak 7 Mac lalu adalah sebanyak 3,976 kes. – 16 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen