Keadaan di Pasir Gudang lebih bahaya jika hujan, kata Bomba 


Mohd Farhan Darwis

Unit Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat memeriksa dan memantau Sg Kim Kim yang tercemar akibat pembuangan sisa toksik dari kilang haram. - Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Mac, 2019.

SITUASI di kawasan terjejas akibat pencemaran sisa kimia boleh menjadi lebih buruk sekiranya cuaca hujan, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor Yahaya Madis.

Beliau berkata, keadaan panas yang berlarutan sejak beberapa hari ini di Pasir Gudang membolehkan keadaan lebih terkawal kerana pelepasan gas yang sekata di udara.

“Kalau ikutkan dengan cuaca panas penularan gas jadi sama rata jadi tidak menjejaskan sangat, tetapi kalau hujan, gas akan berkumpul dan bergerak dalam kumpulan, itu lebih berbahaya.

“Ibaratnya kalau kita renjis air, tak basah, tapi kalau baling ais batu, ia lebih teruk,” katanya, kepada pemberita di pusat rawatan awal penduduk terjejas di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.

Yahaya turut berkata, bacaan tertinggi gas hidrogen sianida (HCN) direkodkan pada kadar 4.5ppm di Taman Tanjung Puteri Resort pada 13 Mac lalu.

“Tetapi dalam sejam kemudian bacaan kembali normal,” katanya yang menjelaskan bacaan untuk gas jenis itu perlu berada di bawah 3.0ppm.

Yahaya berkata, pemantauan berkala jabatan berkenaan mendapati keadaan kualiti udara terkawal dan berada di bawah paras berjaga-jaga.

“Pasukan bomba bimbang ada pelepasan gas yang dibawa angin, kita juga bergerak ke seluruh Pasir Gudang terutamanya kawasan yang pernah rekod bacaan tinggi,” katanya. 

Pihak bomba katanya mengesan kehadiran 15 jenis gas dalam pemantauan mereka, namun kebanyakannya tidak mendatangkan kemudaratan kecuali HCN.

Beliau bagaimanapun menasihati orang awam untuk terus memakai topeng muka walaupun keadaan semakin baik kerana dikhuatiri berlaku pelepasan gas yang tidak diduga.

“Kalau ikut kadar bacaan sekarang tak mendesak untuk pakai topeng muka. Tapi kalau ada pelepasan tidak diduga, agak berbahaya. Kita cadangkan orang ramai pakai topeng,” katanya.

Katanya, sekiranya tiupan angin kuat, gas berkenaan boleh menular lebih jauh dari 1.5km dari kawasan pembersihan sisa toksik. – 12 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen