Menteri desak majikan tidak sekat mana-mana kaum untuk dapatkan kerja


Asila Jalil

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy mengulas mengenai rancangan kerajaan untuk menamatkan diskriminasi kaum terhadap permohonan kerja. – Gambar The Malaysian Insight, 16 Mac, 2019.

MAJIKAN di seluruh negara digesa tidak menyekat mana-mana kaum apabila menyediakan peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy mengulas mengenai rancangan kerajaan untuk menamatkan diskriminasi kaum terhadap permohonan kerja.

Beliau berkata, beliau memahami keperluan sesetengah sektor untuk mengambil mereka yang boleh menguasai bahasa tertentu tetapi sekatan tidak harus dibuat dalam pemilihan kaum.

“Terdapat syarikat yang mahu pekerja mahir berbahasa Mandarin kerana ada pelanggan menggunakan bahasa itu.

“Tetapi secara langsung kita tidak perlu melaksanakan sekatan kerja ke arah satu bangsa sahaja,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Waytha Moorthy baru-baru ini berkata, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Negara akan ada pelan tindakan untuk mengatasi diskriminasi kaum yang dihadapi oleh orang Melayu dan India apabila memohon pekerjaan.

Beliau berkata, semua rakyat Malaysia perlu diberi peluang pekerjaan yang sama.

Kenyataan itu dibuat berikutan kajian dilakukan oleh Pusat Tadbir Urus dan Pengajian Politik (Cent-GPS) yang mendapati terdapat perbezaan besar antara kaum untuk menghadiri temuduga kerja di sektor swasta walaupun mereka mempunyai kelayakan sama.

https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/138544

Pengarah Cent-GPS Zaidel Baharuddin berkata lebih ramai rakyat Malaysia dipinggirkan sekiranya isu perbezaan kaum ini berterusan.

“Kajian ini penting kerana ia memperlihatkan kepada kami betapa wujudnya diskriminasi dalam sektor swasta.

“Walaupun calon yang mempunyai kelayakan, pendidikan dan pengalaman sama, bangsa calon tetapi memainkan peranan penting dalam kelayakan memohon kerja,” katanya. – 16 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen