Polis akan siasat 23 warga Malaysia di Syria ketika mereka kembali


Asila Jalil

Ketua anti keganasan Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay Ayob berkata warga Malaysia yang akan tiba di Malaysia dari Syria akan disoal siasat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2019.

POLIS sedang berhubung dengan 23 rakyat Malaysia di Syria yang ingin pulang ke rumah dan akan menyiasat mereka apabila mereka kembali, kata Penolong Pengarah utama Bahagian Kaunter Keganasan Khas, Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata daripada 23 individu terbabit, 12 daripada mereka adalah kanak-kanak dan 11 orang dewasa. Mereka adalah sebahagian daripada 51 rakyat Malaysia yang masih berada di Syria.

“Mereka hubungi keluarga mereka dan keluarga mereka kemudian hubungi polis, sekarang kami cuba bawa mereka pulang,” katanya pada sidang akhbar majlis perpaduan kebangsaan di Kuala Lumpur hari ini.

Ayub berkata status individu lain yang masih di Syria belum boleh disahkan setakat ini.

Beliau berkata lelaki yang pulang dari Syria selepas menyertai Daesh akan ditangkap dan disiasat manakala wanita dan kanak-kanak akan disiasat mengikut kes demi kes.

“Beberapa wanita terpaksa mengikut suami mereka ke Syria.

“Walaupun ada pihak yang meragui kami kerana membenarkan mereka pulang, kita perlu ingat bahawa kita mengikuti amalan Malaysia (kita ikut acuan Malaysia),” katanya, sambil menambah bahawa sebahagian daripada mereka telah berada di Syria sejak tahun 2013.

Ayub berkata membawa pulang individu-individu terbabit ke dalam negara mungkin mengambil masa yang lama kerana tidak mudah untuk mengenal pasti lokasi sebenar mereka.

“Ia tidak semudah itu. Pergerakan adalah terhad dan keselamatan belum pulih di Syria, “katanya.

Dilaporkan pada hari Selasa bahawa polis Malaysia giat bekerjasama dengan pihak berkuasa Syria bagi membawa pulang 13 rakyat Malaysia di Syria.

Ayob berkata lebih ramai rakyat Malaysia mahu pulang ke tanah air ekoran kemaraan pasukan Demokrat Syria yang disokong AS kini memasuki peringkat terakhir.

Usaha mengembalikan warga Malaysia itu akan menjalani proses pemeriksaan latar belakang dan soal siasat, dan program pemulihan yang dijalankan oleh kerajaan selama satu bulan perlu dijalani mereka.

Sekurang-kurangnya 102 rakyat Malaysia diketahui telah meninggalkan Malaysia bagi menyertai kumpulan pengganas yang dipanggil “Daesh” atau ISIS.

Seramai 40 orang daripada mereka terbunuh dalam pertempuran di Syria dan Iraq, dengan sembilan daripadanya menjadi pengebom bunuh diri. – 16 Mac, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen