Kes toksik kritikal kerana masalah dana, lambat bertindak, kata sumber


Mohd Farhan Darwis

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) sedang membersihkan sisa toksik dari Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Mac, 2019.

KEKURANGAN dana dan kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan segera menyebabkan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang kritikal, kata sumber.

Sumber yang terlibat secara langsung dalam operasi pembersihan itu memberitahu The Malaysian Insight, kelewatan itu menyebabkan sisa toksik merebak lebih luas ke sistem sungai.

“Yang paling penting kerajaan, DOE (Jabatan Alam Sekitar) kita lihat macam tidak serius, tindakan terlampau lambat. Bila berlaku pencemaran hendak mesyuarat dahulu, hendak tunggu bajet.

“Sepatutnya bersihkan dulu sisa toksik. (Masalah) duit kemudian, lagi pula masyarakat sekeliling tak ambil tindakan, pandang sambil lewa sahaja (apabila ada buangan sisa toksik),” kata sumber.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang kawalan sisa pencemaran berkata, kerajaan tidak mempunyai dana untuk melakukan pembersihan di kawasan yang dicadangkan kontraktor.

Malah, dana sedia ada tidak mencukupi untuk membersihkan separuh daripada kawasan yang dicadangkan untuk pembersihan, kata sumber.

“Masalah utamanya adalah kos, (kerajaan) tidak cukup bajet. Tender diberikan kepada satu kontraktor ini, tapi (peralatan) mereka kurang, jadi mereka perlukan kepakaran daripada syarikat lain.

“Bila cerita pasal kos mereka (kerajaan) tidak berani bentang bajet. 

“Mengikut kajian kita,sepatutnya jarak pembersihan dibuat dalam lingkungan 4.5 km tapi bajet kerajaan hanya dapat (bersihkan sepanjang) 1.5 km… Itu masalahnya,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kos yang diperlukan bagi keseluruhan operasi pembersihan sisa toksik di sungai berkenaan.

“Kita pun tidak boleh nak cakap apa. Itu bajet yang kerajaan ada,” katanya.

Enam hari selepas pencemaran itu dilaporkan berlaku, kerajaan negeri Johor mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.4 juta untuk membersihkan sungai berkenaan.

Operasi pembersihan sisa toksik di sungai berkenaan katanya dimulakan pukul 2 petang pada Khamis.

Terdapat beberapa jenis sisa toksik yang dikesan di Sungai Kim Kim tetapi yang paling  ketara adalah sianida, kerosin, dan metana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2019.

Pada hari sama, Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta untuk operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran di sungai itu.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, sumbangan itu bagi membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa terbabit dalam operasi itu melengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan yang diperlukan.

Sumber berkata, persediaan kerajaan itu berbeza dengan amalan yang dilihatnya dalam sektor swasa, yang menyediakan tabung bencana untuk digunakan sekiranya insiden pencemaran berlaku.

“Dulu (waktu bekerja dengan syarikat swasta) ada tabung bencana alam. Kita buat segera bila ada tumpahan. 

“Tidak ada sebut harga. Ini nak bincang dulu, minta sebut harga, nak tangkap (pesalah) dulu, sepatutnya bersihkan sisa toksik jadi keutamaan,” katanya.

Sewaktu perbincangan dengan pihak kementerian, sumber berkata terdapat beberapa jenis sisa toksik yang dikesan, namun yang ketara adalah sianida.

“Bahan kimia yang ada dalam senarai banyak, tapi yang utama kita lihat sianida, kerosin, dan metana.

“Metana ini dalam makanan kita pun ada, tapi jumlahnya tidak berbahaya, cuma bila ia bercampur bahan-bahan lain jadi lebih ‘jahat’,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan toksik yang dibuang adalah bahan buangan berjadual.

“Barang yang dibuang ini mungkin bahan buangan berjadual, bukan sisa produk. Mungkin ada campuran yang tak menjadi. 

“Ini bukan sisa cucian mesin, bahan kimia yang dikesan banyak tetapi hanya beberapa sahaja yang dibentangkan,” katanya lagi.

Beliau bimbang bahan kimia berbahaya itu akan memberikan kesan kepada organ dalaman penduduk yang terdedah dengan bahan tersebut.

Insiden pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim mula dikesan pada 7 Mac lalu dan menjejaskan pelajar di SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih. Sekolah berkenaan diarahkan ditutup.

Seterusnya, keadaan semakin buruk dan menyaksikan jumlah mangsa naik mendadak kepada 1,906 orang. Ekoran itu, kesemua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang ditutup serta-merta.

Dua pengkalan perubatan dibuka, salah satunya di Taman Pasir Putih yang kini menempatkan 1,483 mangsa dan di Taman Mawar, yang menempatkan 423 mangsa.

Kes yang lebih serius dirujuk ke Hospital Sultan Ismail, yang menerima 276 kes.

Seramai 869 mangsa lagi mendapatkan rawatan secara terus di hospital dan klinik-klinik di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru. – 16 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen