Rakyat Malaysia mangsa serangan masjid jalani pembedahan kedua esok


Looi Sue-Chern

SEORANG daripada dua rakyat Malaysia yang cedera dalam serangan tembakan di masjid di Christchurch hari ini, Rahimi Ahmad selamat menjalani pembedahan membuang sebutir peluru di perutnya.

Lelaki kelahiran Pulau Pinang itu bagaimanapun perlu menjalani satu lagi pembedahan esok selepas peluru itu turut terkena rusuknya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz.

Azrul dimaklumkan perkara itu oleh isteri Rahimi, Nor Azila Mohammad apabila wanita itu menghubungi ibu mentuanya di Bayan Lepas.

“Dia (Azila) berkata peluru terkena rusuk suaminya. Rahimi perlu menjalani satu lagi pembedahan esok.

“Kita tidak pasti keadaan sebenarnya. Azila berkata suaminya masih belum sedar. Dia sendiri trauma dengan kejadian tersebut.

Azrul berkata demikian selepas melawat ibu Rahimi, Rokiah Mohammad, 65, di rumahnya di Kampung Binjai.

Rokiah berkata dia mengetahui insiden serangan itu  menerusi siaran berita di RTM  selepas pulang membaca al-Quran dari rumah jirannya.

Laporan berita itu tidak menyebut nama dua rakyat Malaysia yang cedera dalam serangan yang mengorbankan 49 nyawa itu, tetapi Rokiah tahu anak lelakinya itu berada di lokasi kejadian.

Sebuah daripada dua masjid yang menjadi lokasi serangan tembakan itu, Masjid Al-Noor di Deans Avenue, terletak dalam kawasan kejiranan Rahimi.

“Berita itu menyebut Christchurch. Jadi saya tahu,” katanya kepada pemberita.

“Anak lelaki saya tinggal di Christchurch dan masjid itu terletak sangat dekat dengan rumah mereka.

“Saya tidak boleh gambarkan perasaan ketika itu. Dia berada sangat jauh. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Jika saya boleh terbang ke New Zealand untuk bersamanya, saya akan lakukan.” – 15 Mac, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen