Shafee kata tangannya ‘makin baik’


Timothy Achariam

Shafee Abdullah (kiri) adalah peguam Najib Razak yang kini berdepan pelbagai pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 Mac, 2019.

MUHAMMAD Shafee Abdullah hari ini memberitahu Mahkamah Rayuan yang pergelangan tangan kirinya sudah hampir pulih selepas “serangan” anjing pengawalnya awal minggu ini.

Selasa lalu, peguam Najib Razak itu menggunakan alasan kecederaan itu untuk memohon penangguhan pendengaran Mahkamah Rayuan berkaitan kes penyelewengan dana SRC International mencecah RM42 juta dihadapi Najib.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Zabariah Mohd Yusof bersetuju supaya prosiding itu diadakan hari ini.

Shafee, yang pada awal Selasa lepas sempat menghadiri pendengaran kes bunuh bekas CEO Cradle Fund Nazrin Hassan di Shah Alam, berkata beliau “mengalami kesakitan teruk di pergelangan tangan” sehari sebelum itu, dan kecederaannya semakin buruk.

“Tetapi, kerana saya sudah buat jani di mahkamah, selain kes bunuh Samirah (Muzaffar, balu Nazrin) di Mahkamah Shah Alam, jadi walaupun sakit, saya hadir di kedua-dua mahkamah,” katanya kepada wartawan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya hari ini.

“Orang terlupa yang saya sebenarnya datang ke mahkamah Putrajaya untuk merayu hari itu kerana saya ingat saya boleh tahan (sakit),” katanya.

“(Tapi) Sakit tak tertanggung dan bengkak makin besar.”

Kecederaan dialami Shafee diperli pengguna internet, sehingga ada yang membuat spekulasi yang pasukan pembelaan Najib menggunakan taktik melambat-lambatkan bicara.

Najib, bekas perdana menteri Malaysia kini berdepan 10 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pendengaran rayuan di mahkamah hari ini adalah salah satu daripada empat permohonan dibuat Najib berkaitan pertuduhan berkaitan SRC ke atasnya. – 14 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen