Polis tidak minta bantuan luar kesan anak perempuan Indira


Asila Jalil

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang petunjuk daripada orang ramai mengenai keberadaan anak perempuan M Indira Gandhi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2019.

POLIS tidak akan meminta sebarang bantuan daripada pihak luar untuk mengesan anak perempuan M Indira Gandhi, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan itu mengalu-alukan sebarang petunjuk daripada orang ramai mengenai keberadaan kanak-kanak tersebut.

“Kami belum mendapat bantuan daripada pihak luar tetapi ada notis yang kami mengalu-alukan sebarang maklumat atau petunjuk kepada anak perempuan Indira bagi mereka yang memilikinya,” katanya di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur hari ini.

Fuzi berkata pihak polis akan meminta bantuan daripada rakan-rakannya di negara jiran jika terdapat petunjuk baru mengenai lokasi anak perempuan Indira di negara tertentu.

Beliau berkata tidak dapat mengesahkan jika kanak-kanak itu meninggalkan negara ini kerana pemeriksaan dengan imigresen tidak menunjukkan sebarang petanda.

“Kami tidak mempunyai sebarang petunjuk yang akan membantu kami dalam mengesan anak perempuannya,” katanya.

Kumpulan sukarelawan yang berusaha menjejaki anak perempuan Indira yang hilang meminta pertolongan pihak berkuasa Thailand selepas mendakwa polis Malaysia tidak menunjukkan sebarang minat dalam kes itu.

Arun Dorasamy daripada Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) mengatakan mereka mempunyai empat petunjuk yang boleh dipercayai yang menunjukkan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah, bersembunyi di selatan Thailand.

Riduan, yang nama asalnya adalah K. Patmanathan, mengambil Prasana yang pada ketika itu berusia 11 bulan daripada Indira pada 2009 untuk menukarkan agamanya dan dua anak lebih tua kepada Islam tanpa persetujuan Indira.

Anak-anak yang lebih tua bersama Indira dan dibesarkan sebagai Hindu tetapi Prasana hilang sejak itu. Kanak-kanak itu kini berumur 11 tahun. – 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen