Notis diberi penganjur perarakan Hari Wanita tidak cukup tempoh, kata KPN


Asila Jalil

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun (duar dari kanan) berkata notis yang diberikan oleh penganjur himpunan Hari Wanita yang lalu kurang daripada tempoh 10 hari minimum yang diperlukan bagi membolehkan kelulusan diberikan. – Gambar The Malaysian Insight, 15 Mac, 2019.

PERARAKAN Hari Wanita yang diadakan minggu lepas tidak mengikuti prosedur sepatutnya kerana notis yang diberikan oleh penganjur tidak memenuhi syarat diperlukan untuk mengadakan perhimpunan.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata notis yang diberikan adalah kurang daripada tempoh 10 hari minimum yang diperlukan bagi membolehkan notis diberikan.

“Kami menyiasatnya kerana mereka meneruskan (dengan perhimpunan) walaupun kami tidak memberikan notis kelulusan.

“Tempoh (notis) tidak memenuhi masa 10 hari. Kami akan memberi kelulusan sekiranya tempoh (notis) itu mencukupi,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, peguam Syahredzan Johan menggesa siasatan perhimpunan itu dihentikan kerana ia tidak perlu.

Mengulas mengenai itu, Fuzi berkata ia adalah tanggungjawab pasukan polis untuk memutuskan sama ada siasatan itu perlu diteruskan atau tidak.

“Lebih daripada 50 laporan polis dibuat dan siasatan perlu diambil.

“Tugas polis kini adalah untuk menyelesaikan kertas siasatan segera dan menyerahkannya kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan selanjutnya,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata perarakan itu tidak sah kerana tiada permit dikeluarkan.

Beliau berkata kerajaan menolak sebarang langkah untuk menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran, yang merupakan pelanggaran Akta Perhimpunan Aman 2012.

Enam individu, termasuk penganjur yang terlibat dalam perarakan, sudah memberikan kenyataan mereka kepada polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata tiga orang lagi akan diambil kenyataan mereka di ibu pejabat polis Dang Wangi pada Isnin. – 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen