Sekolah tutup tapi kenapa kami diminta datang, tanya guru di Pasir Gudang


Mohd Farhan Darwis

BEBERAPA guru dari sekolah yang terjejas berikutan pencemaran sisa kimia beracun di Sungai Kim Kim, di Pasir Gudang, Johor kecewa dengan sikap pejabat pendidikan daerah dan negeri yang mengabaikan keselamatan mereka dan murid ketika insiden itu tercetus pada 7 Mac lalu.

Mereka kesal diminta datang ke sekolah semasa arahan sekolah ditutup pada Ahad (10 Mac) sedangkan ketika itu tiada sebarang maklumat apakah keadaan sudah selamat, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

Guru-guru itu memberitahu, mereka diminta membersihkan bilik darjah dengan pembasmi kuman sebagai persediaan untuk sekolah dibuka semula pada 11 Mac.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, guru tidak perlu bertugas kerana penutupan sekolah bermakna keadaan tidak selamat.

“Insiden pencemaran bermula pada 7 Mac (Khamis), pada 8 dan 9 Mac sekolah bercuti, pada 10 Mac, kami para guru diarahkan untuk hadir ke sekolah dan bersihkan meja, kerusi, dan langsir sekolah menggunakan antiseptik.

“Sedangkan waktu itu kami belum terima apa-apa maklumat mengatakan sekolah sudah selamat untuk hadir,” kata seorang guru, yang enggan mendedahkan identitinya, kepada The Malaysian Insight.

Pada Ahad itu katanya, udara di kawasan sekolah berbau seperti campuran diesel, kerosin, dan getah tayar terbakar.

Bagaimanapun tidak semua guru datang untuk gotong royong itu. Daripada 150 guru di sekolah berkenaan, hanya kira-kira 20 orang hadir, kata guru itu.

“Akibatnya empat guru dimasukkan ke hospital, dua masih ditahan di wad,” katanya.

Maszlee sebelum ini berkata guru tidak perlu hadir ke sekolah, dalam kenyataannya pada petang 13 Mac berkenaan penutupan 34 sekolah selepas keadaan semakin buruk. Pada malamnya, dalam satu lagi kenyataan susulan, beliau mengumumkan semua 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta merta.

Maszlee berkata bukan saja keselamatan murid, tetapi keselamatan guru dan pekerja sekolah juga adalah keutamaan pihaknya.

Pelajar SK dan SMK Tanjung Puteri Resort diberikan rawatan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih selepas berlaku pencemaran kimia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2019.

Insiden pencemaran bahan toksik di Sungai Kim Kim mula dikesan pada 7 Mac, apabila pihak pengurusan SMK Pasir Putih dan SK Pasir Putih membuat aduan mengenai keadaan udara di sekitar kawasan sekolah kepada pihak bomba Pasir Gudang dan pejabat kesihatan daerah, yang disyaki dari kilang berdekatan.

Pihak berkuasa kemudian mengesyaki “ada kebocoran gas” kerana lokasi sekolah yang berdekatan dengan kawasan industri.

Lapan ambulans dikejarkan ke dua sekolah berkenaan untuk membantu 24 pelajar serta masing-masing seorang guru dan pekerja kantin yang pengsan manakala bangunan sekolah dikosongkan.

Jawatankuasa pengurusan bantuan bencana yang pada masa itu masih diketuai pegawai daerah kemudian mengarahkan dua sekolah itu ditutup selama tiga hari sehingga Sabtu.

Keesokan harinya, jumlah mereka yang dirawat meningkat kepada 39 orang sebelum terus meningkat kepada 79 orang pada 9 Mac. Pada 10 Mac, jumlah mangsa meningkat lagi kepada 82 orang.

“Apabila sekolah dibuka semula pada 11 Mac, gelombang kedua berlaku dan semakin ramai pelajar terpaksa dimasukkan ke hospital,” kata guru tersebut.

Guru itu juga memberitahu mereka dimaklumkan oleh pihak pentadbir sekolah bahawa kedua-dua sekolah boleh dibuka semula pada Isnin itu, berdasarkan makluman daripada pihak bomba, pejabat pendidikan negeri dan Jabatan Alam Sekitar.

Majoriti guru bagaimanapun membantah tetapi mereka dilihat seolah-olah menentang arahan pihak atasan, kata guru itu, yang mengaku beliau sanggup ponteng sekolah sejak kejadian pada 7 Mac.

Seorang guru lain memberitahu The Malaysian Insight, kebanyakan mereka tidak yakin dengan makluman bahawa keadaan sudah selamat untuk sekolah dibuka semula pada Isnin.

“Apabila kita minta bukti hitam putih surat itu, pentadbir sekolah tidak layan,” kata guru kedua itu.

Beliau berkata makluman berkenaan diedarkan melalui aplikasi perbualan guru sekolah berkenaan.

Pegawai pendidikan jumpa guru

Pihak pejabat pendidikan daerah (PPD) kemudian mengadakan satu pertemuan dengan guru dari dua sekolah berkenaan pada Selasa. Pertemuan berlangsung di SMK Kota Masai 2.

“Kami ingat PPD hendak minta maaf atau kesal dengan arahan mereka sebelumnya sehingga menyebabkan keadaan semakin teruk. Rupa-rupanya mereka minta kami beri cadangan macam mana hendak teruskan pembelajaran ketika pelajar bercuti kerana bencana.

“Pelajar masuk hospital, ada yang tertekan, ada yang trauma. Tetapi pihak pentadbir fikir hanya soal pentadbiran semata-mata. Saya tak faham apa yang mereka hendak sebenarnya,” kata guru itu.

Unit Hazmat melakukan pemeriksaan dan pembersihan di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 15 Mac, 2019.

Guru itu juga mendakwa pihak sekolah tidak memanggil ambulans ketika ada tujuh pelajar yang memerlukan rawatan sebaliknya meminta ibu bapa datang menjemput anak mereka.

Atas sikap sambil pihak pengurusan sekolah itu, guru berkenaan berkata ada beberapa ibu bapa sudah berbincang untuk mengambil tindakan terhadap pihak sekolah.

“Beberapa guru sudah dihubungi ibu bapa. Sehingga hari ini, mereka kata pihak sekolah masih belum berkomunikasi dengan ibu bapa yang anak-anak mereka ditahan di wad.

“Mereka mahu ambil tindakan mahkamah, nak saman pihak sekolah,” katanya.

Sementara itu, guru di kawasan Seri Alam memberitahu The Malaysian Insight, mereka juga diminta hadir ke sekolah pada kelmarin (13 Mac) walaupun Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah ditutup sepenuhnya.

“Pelajar diarahkan pulang tapi guru diarahkan kekal di sekolah kerana alasan Prosedur Operasi Standard (SOP). Adakah SOP lebih penting daripada nyawa?” kata guru sekolah berkenaan, yang enggan identitinya didedahkan.

“Kami hanya duduk di dalam bilik guru tak buat apa, waktu itu ada guru yang muntah-muntah akibat pencemaran, tapi tak dibenarkan balik,” katanya.

Mereka kemudian hanya dibenarkan pulang pada 5 petang, katanya.

“Apabila kita persoalkan mereka kata kami penjawat awam yang ingkar arahan pihak atasan,” katanya lagi, yang mahu pihak pentadbir pendidikan daerah dan negeri meminta maaf kepada semua guru dan pelajar terlibat.

Hari ini, insiden pencemaran sisa kimia beracun di Pasir Gudang ini masuk hari ke-9. Sehingga tengah hari semalam, seramai 2,775 orang awam sudah mendapatkan rawatan akibat sementara tujuh dirawat di unit rawatan rapi. – 15 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Pihak pentadbir tidak professional.. malah suka mengugut guru akan digantung kerja. Dimana toleransi ..dimanakah perikemanusiaan.. kerana kerja..akur.. kerana arahan ..akur.. dimanakah kebebasan bersuara..

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh TMaZ MMI · Ulasan