Perlu akta jelaskan penggunaan aset kerajaan, kata Bersih


Diyana Ibrahim Timothy Achariam

Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, tidak ada definisi jelas mengenai kesalahan itu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2019

PERLU ada akta untuk menjelaskan penggunaan aset kerajaan semasa pilihan raya bagi mengelakkan salah guna kuasa, kata Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann.

Beliau berkata, saranan itu dibuat memandangkan tidak ada definisi jelas mengenai kesalahan itu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kita harap ia akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi. Kami tidak mahu melihat kerajaan sedia ada kini menggunakan harta kerajaan untuk berkempen menggunakan duit rakyat,” katanya selepas pelancaran laporan meja bulat Reformasi Pilihan Raya di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata pihaknya bimbang dengan peningkatan laporan pelanggaran peraturan itu oleh kerajaan Pakatan Harapan.

“Ia bertambah buruk semasa pilihan raya kecil Semenyih. Jadi kita harap akan keluar garis panduan. Paling penting undang-undang perlu diperbaharui.”

Sebelum ini Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun berkata, Pakatan Harapan melakukan lebih banyak kesalahan pilihan raya atau pelanggaran etika semasa PRK Semenyih baru-baru ini berbanding pembangkang.

Beliau turut menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah yang mahu penjelasan bagaimana kerajaan boleh membezakan aset yang boleh digunakan dan sebaliknya.

Menurutnya, ia tidak boleh bersifat eksklusif.

“Seperti pengumuman projek, bukan tak boleh umum projek tapi jangan bersifat eksklusif macam di Semenyih, umum sekolah kalau hanya di Semenyih memang salah, tapi kalau kata nak buat satu Selangor, boleh.

“Sama juga janji projek kalau menang pilihan raya kita akan bangunkan (kawasan) itu,” katanya.

Thomas berkata, Bersih kini sedang berusaha untuk mengkaji peraturan yang lebih jelas bagi perkara itu. – 14 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen