Masyarakat luar bandar di Sarawak dibebani kenaikan harga barang 


Desmond Davidson

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata kerajaan tidak memansuhkan program subsidi pengangkutan kepada penduduk luar bandar di Sarawak.– Gamnbar The Malaysian Insight, 14 Mac, 2019

PENDUDUK di perkampungan Long Banga di pedalaman Baram, sekali lagi menanggung beban terpaksa membayar RM45 bagi tong gas petroleum cecair (LPG) 14 kilogram selepas hanya sekejap dapat menikmati harga RM26.60 yang dibayar oleh rakyat Sarawak lain sebelum ini. 

Malah mereka yang tinggal dalam sejam perjalanan perkampungan Kenyah, berhampiran sempadan Kalimantan, terpaksa membayar lebih tinggi – antara RM60 dan RM70.

Seorang penduduk Usat Bilong memberitahu The Malaysian Insight, selain LPG, harga beberapa barangan lain seperti minyak petrol dan diesel, gula, beras, tepung gandum, minyak masak dan gas memasak yang disubsidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional sebelum ini menerusi program subsidi pengangkutan, meningkat sehingga 40%.

Katanya, harga bagi seliter diesel untuk kegunaan kenderaan pacuan empat roda – suatu keperluan di kawasan pedalaman –  kini antara RM3.30 dan RM3.50.

Di kawasan bandar, harganya cuma RM2.18 sen seliter, katanya. 

“Amat sukar bagi kami yang tinggal di kawasan pendalaman. Harga semua barang mencanak naik.”

Namun penduduk kampung kuat, kata Usat, dan “hanya terima untuk terus hidup”.

“Kami menderita dalam diam. Situasi sekarang sangat teruk, tapi apa yang kami boleh buat?”

Kerajaan Pakatan Harapan telah dituduh secara senyap-senyap menghentikan program subsidi pengangkutan pada bulan Januari, yang membawa kepada kenaikan harga.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen pada Selasa berkata kerajaan tidak memansuhkan program itu dan telah memperuntukkan RM140 juta untuk mensubsidi pengangkutan tujuh perkara penting ke kawasan luar bandar di seluruh negara, dengan 90% untuk negeri Sarawak.

Beliau yang juga pengerusi PH Sarawak berkata program itu hanya tertangguh kerana “kerajaan PH telah memperbaiki proses perolehan, dari kaedah rundingan langsung sebelum ini kepada tender terbuka”.

Chong berkata penangguhan itu adalah untuk membolehkan kementerian menyelesaikan masalah berkaitan kontrak yang diwarisi dari BN.

Beliau berkata kementerian mendapati beberapa agensi pengangkutan yang dilantik di bawah pentadbiran terdahulu tidak memenuhi jangkaan.

“Malah, harga yang ditawarkan juga tidak kompetitif, mengakibatkan kerajaan membayar lebih untuk perkhidmatan kurang.”

Ketika kementerian memulakan proses tender terbuka, “lebih dari 3,000 pengangkut kontrak menyerahkan tawaran”, kata Chong.

“Kementerian kini dalam proses pemilihan, dan pelantikan akan dibuat pada waktu yang akan datang, dan akan berdasarkan merit. Kami berada di peringkat akhir proses pemilihan.

“Sekiranya semuanya berjalan lancar, pada 1 April, program subsidi pengangkutan akan diteruskan.”

Usat berkata beliau berharap ia bukan sesuatu lawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usan, Dennis Ngau menyalahkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di Baram pada “keputusan yang lambat” untuk melantik agensi pengangkutan.

“Rakyat di kawasan saya di Telang Usan dan di Mulu masih menunggu harga barang dan perkhidmatan turun, seperti yang dijanjikan oleh PH dalam manifesto pilihan raya.

“Sejak GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dimansuhkan tahun lepas, harga barang semakin meningkat berbanding turun.”

Ngau berkata walaupun penduduk di Baram dan kawasan pedalaman lain menderita, langkah kerajaan PH untuk memperbaiki sistem penyampaian adalah wajar dipuji.

“Saya terkejut mengetahui bahawa lebih daripada 3,000 pengangkut kontrak mengemukakan tawaran.”

Katanya, beliau berharap mereka dari kawasan luar bandar sendiri, atau sekurang-kurangnya, “mereka yang benar-benar tahu keadaan di kawasan ini”.

“Saya mahu mengingatkan kementerian ... sementara kerajaan baru cuba membuktikan ia lebih terbuka dengan memperkenalkan proses tender, dalam keadaan sedemikian, ia tidak akan mempunyai pilihan tetapi menerima tawaran paling rendah.”

Beliau berkata ini boleh memberi kesan negatif, seperti kontraktor yang mendapati diri mereka mengalami kesulitan kewangan atau mengalami kerosakan dalam operasi.

Chong berkata kementerian akan tangani penangguhan program subsidi pengangkutan dengan meningkatkan bekalan, memetik LPG sebagai contoh.

Tahun lepas, peruntukan itu adalah tujuh tong gas LPG kepada setiap keluarga, dan ini akan meningkat kepada 12 tong tahun ini, katanya, sambil menambah bahawa peruntukan sebelumnya tidak mencukupi untuk keluarga terakhir setahun. – 14 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen