TAUFAN Irma semakin lemah dan turun ke kategori 4 pada awal Sabtu, menurut Pusat Hurikan Kebangsaan Amerika Syarikat, selepas melanda Cuba dengan kekuatan maksimum pada kategori 5.
Ia kini dilaporkan sedang menuju ke Florida, dan berada di sekitar 245 batu (395 kilometer) dari Miami dan masih membawa kekuatan angin berkelajuan 155 kilometer sejam.
“Ia akan mencatakan turun naik, tetapi Irma dijangka akan mengekalkan kekuatan sebaik tiba di Florida,” kata NHC dalam satu kenyataan.
Irma dijangka melanda Florida Keys pada lewat Sabtu dan Ahad sebelum bergerak ke kawasan pedalaman, dan kebanyakan penduduk masih belum berpindah walaupun amaran diberikan untuk berbuat demikian.
Di Cuba, pihak berkuasa melaporkan “kerosakan signifikan” di sesetengah kawasan di kepulauan itu tanpa memberikan butiran lanjut, dan berkata jumlah kematian masih belum disahkan.
Lebih sejuta penduduk di pulau terbesar di Carribean itu dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga, kata pihak berkuasa.
Satu lagi taufan kategori 4, Jose, juga sedang berlegar di kawasan Atlantik dengan kelajuan angin maksimum mencecah 150 kilometer sejam dan menghala ke kepulauan Carribean yang dilanda Irma sebelum ini.
Selepas melanda di kawasan timur Mexico pada lewat Jumaat sebagai taufan kategori 1, Katia kini dilaporkan semakin lemah kepada ribut tropika dan mula reda berhampiran pergunungan Sierra Madre – namun hujan lebat yang dibawa “masih mampu mengancam nyawa dengan ancaman banjir kilat dan banjir lumpur terutamanya di kawasan pergunungan,” kata NHC. – AFP, 9 September, 2017.
Komen