4 pemimpin DAP tuntut Azwanddin mohon maaf, bayar ganti rugi


Timothy Achariam Diyana Ibrahim

Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah didakwa memfitnah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dalam satu video di YouTube. – Gambar YouTube, 14 Mac, 2019.

EMPAT pemimpin DAP menghantar notis tuntutan kepada Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah, bagi tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi berhubung kenyataan memfitnah mereka.

Mereka ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua.

“Dalam satu video di YouTube, Azwanddin membuat kenyataan fitnah terhadap keempat-empat individu ini,” kata peguam yang mewakili mereka, Ramkarpal Singh.

Menurut Ramkarpal, Azwanddin menuduh Guan Eng memindah peruntukan RM200 juta untuk pelajar-pelajar Melayu bagi membiayai tokong-tokong Cina.

Azwanddin juga mendakwa Guan Eng menjalankan upacara sembahyang bersama sami Buddha di Kementerian Kewangan setiap hari.

“Beliau juga mendakwa Kit Siang dan Pua mengarahkan agenda Melayu dibuang daripada perkhidmatan awam dan DAP mengarahkan pelantikan orang Cina dalam syarikat berkaitan kerajaan,” kata Ramkarpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor.

“Azwanddin harus memohon maaf dan membayar ganti rugi. Jika gagal berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari, satu saman akan difailkan terhadapnya.” – 14 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen