Pesakit pencemaran toksik lepasi tahap bahaya, kata menteri


Timothy Achariam Diyana Ibrahim

Sejak 7 Mac, terdapat 937 kes bagi rawatan akibat terhidu toksik susulan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim. - Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2019.

DUA belas pesakit yang dimasukkan ke unit penjagaan rapi susulan pencemaran bahan buangan Sungai Kim Kim kini melepasi tahap bahaya, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata mereka berada dalam keadaan stabil, sambil menambah tiada kematian akibat pembuangan sisa kimia.

“Terdapat 12 kes di ICU malam tadi. Sesetengahnya ada diintubasi bagi ventilasi tetapi selain itu, mereka semuanya sudah melepasi keadaan bahaya,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini mengenai status pesakit.

Beliau berkata sudah melawat hospital di mana mangsa dimasukkan dan mendapati tiada kes kritikal.

“Kita sudah merawat mereka dan yakin ia akan berkesan dengan baik,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sejak 7 Mac, terdapat 937 kes yang mendapat rawatan akibat terhidu toksik.

“Semalam sahaja ada 162 kes. Daripada itu, 108 dimasukkan ke wad dan selebihnya diberi rawatan biasa,” katanya.

Beliau juga berkata kementerian dan hospital di Johor bersedia mengendalikan sebarang kes kritikal.

Berikutan tercetusnya sisa toksik daripada pembuangan sisa haram di Pasir Gudang, 111 sekolah di kawasan itu ditutup sehingga diberitahu kelak.

Menurut Jabatan Alam Sekitar, pencemaran itu disebabkan oleh minyak hitam yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim. Antara bahannya termasuk metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzena, toulene, xylene dan limonene. – 14 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen