.jpg)
SAYA Hishamuddin Rais memelihara anjing. Malah dari zaman kanak-kanak lagi saya telah memelihara binatang. Saya ada pengalaman memelihara tupai, musang dan kura-kura.
Di rumah keluarga kami di Jelebu sentiasa ada kucing peliharaan. Arwah ayah saya – yang belajar di Sekolah Pondok Lebai Maadah Batu Kikir – ada juga memelihara anjing. Jadi memelihara anjing ini bukan satu yang asing dalam budaya suku Biduanda Negeri Sembilan.
Kelmarin saya terbaca berita tentang peguam Shafee Abdullah yang mewakili Najib Razak dalam kes pengalihan wang haram SRC (Amla). Peguam telah patah tangan. Beliau diberitakan telah diserang atau hasil terkaman anjing. Yang menerkam ialah anjing peliharaan peguam Shafee sendiri.
Justeru kes SRC – perbicaraan Najib ditangguh.
Saya merasa pelik bin hairan. Ini kerana dalam sejarah pemeliharaan anjing, tidak pernah saya terbaca Tuan Anjing diserang oleh anjing peliharaannya sendiri. Dalam pengetahuan saya, anjing ialah binatang peliharaan yang amat setia kepada tuannya.
Dunia akan terus mengingati Hachiko, seekor anjing milik Profesor Hidesaburo Ueno dari Tokyo Imperial University. Setiap petang – hujan, panas atau bersalji – si Hachiko akan datang menunggu tuannya Profesor Ueno pulang dari universiti di stesen Shibuya di Tokyo.
Hachiko dipelihara oleh Profesor Euno semenjak tahun 1924. Hubungan intim antara Profesor Ueno dengan Hachiko ini tamat pada 25 Mei 1925. Pada petang hari itu, Profesor Ueno yang dinanti oleh Hachiko tidak pulang pulang.
Profesor Ueno meninggal dunia ketika memberi kuliah di universiti.
Sejak petang itu, setiap petang selama 9 tahun, si Hachiko akan datang menunggu kesampaian Profesor Ueno. Akhirnya Hachiko sendiri mati dalam penungguan pada 8 Mac 1935.
Hari ini tugu Hachiko telah didirikan di hadapan stesen kereta api Shibuya.
Hanya sekali dunia diperanjatkan dengan berita seorang tuan empunya anjing yang telah mati diserang oleh anjingnya sendiri.
Ini berlaku pada pada bulan September 2011 di Manado, Indonesia. Tuan empunya anjing telah pergi bercuti selama dua minggu. Dia telah tidak meninggalkan makanan dan minuman untuk anjingnya yang terkurung dalam rumah.
Bila pulang dari bercuti dia diserang oleh anjing peliharaannya yang lapar dan dahaga.
Justeru saya menjadi hairan lagi pelik kenapa Tuan Peguam ini diserang oleh anjingnya sendiri. Atau diterkam dengan begitu kasar hingga mengakibatkan tangan patah.
Berita peguam ini bertambah pelik apabila peguam Shafee Abdulah ini dapat pula hadir dalam satu kes yang lain pada hari yang sama.
Maka saya terfikir apakah Sang Peguam ini sedang melancarkan perang biologi.
Apa dia perang biologi ini?
Dr Mahathir Mohamad telah berumur 93 tahun. Najib baru melintas 65 tahun. Dalam konteks biologi, Najib masih muda.
Dalam perang biologi secara saintifik Dr Mahathir pasti akan tewas. Lagi cepat Dr Mahathir tewas lagi baik. Apabila Dr Mahathir tewas maka besar kemungkinan Najib boleh membuat “perjanjian baru” dengan kerajaan baru yang dipimpin oleh sosok yang berkemungkinan bersimpati dengan Najib.
Justeru, memperlambat kes Najib berjalan adalah sebahagian daripada taktik perang biologi. Memperlambatkan Najib menerima hukuman adalah perang biologi. Lagi lambat Najib masuk penjara lagi baik.
Inilah yang saya takrifkan Perang Biologi.
Justeru, saya sebagai pemelihara anjing marah dan merasa terkilan binatang yang paling setia kepada manusia telah dijadikan sebab untuk digunakan sebagai senjata perang biologi. – 13 Mac, 2019.
* Hishamuddin Rais, Tuan Ezi dan Tak Tak.
Komen