PARLIMEN akan membahaskan usul mengenai perisytiharan darurat di Pasir Gudang, Johor yang dilanda pencemaran bahan kimia toksik dengan kerajaan berjanji untuk membuat keputusan secepat mungkin.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mengusulkan pengisytiharan darurat di Pasir Gudang, yang dibawa oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamad Hanipa Maidin.
Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mod Yusof berkata Parlimen akan membahaskan usul itu pada jam 4.30 petang hari ini.
“Perbahasan itu akan berlangsung pada 4.30 petang selama satu jam,” katanya.
Menurut Ariff, usul darurat terpaksa memenuhi tiga kriteria - kepentingan awam, khusus dan mendesak.
“Saya mengkaji perkara itu dan mendapati usul ini memenuhi ketiga-tiga syarat dan membolehkannya dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini.”
Terdahulu, Hassan mencadangkan prosiding biasa Dewan Rakyat (untuk membahaskan ucapan Yang di-Pertuan Agong) ditangguh bagi membahaskan sama ada kerajaan harus mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.
“Seramai 509 orang dimasukka ke pelbagai hospital dan klinik manakala sembilan lagi berada di unit rawatan intensif dan 111 lagi sekolah ditutup.
“Perangkaan ini menunjukkan sejauh mana pencemaran yang bermula di Pasir Gudang dan kini sudah merebak ke Tebrau.
“Oleh itu, Parlimen perlu membahaskan usul ini,” katanya.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin sebelum ini berkata jawatankuasa yang mengawasi bencana akan membincangkan isu arahan darurat dan membuat keputusan tidak lama lagi.
“Saya akan menyampaikan cadangan dan pandangan anda kepada jawatankuasa kerana ini bukan keputusan saya sahaja. Kami akan membuat keputusan ini secepat mungkin,” kata Yeo kepada Dewan Rakyat.
Susulan pembuangan sisa buangan toksik ke dalam Sungai Kim Kim di Johor, kira-kira 200 orang, kebanyakannya pelajar, dimasukkan ke hospital atau dirawat selepas terhidu toksik.
Kesemua 111 sekolah kawasan ditutup sehingga notis diberitahu kelak. – 14 Mac, 2019.
Komen