ALISTER Cogia yang digari warden penjara dibawa ke Hospital Kota Sentosa tengahari tadi, selepas Mahkamah Tinggi Kuching sebelum itu mengarahkannya dihantar untuk ujian mental.
Sebelum ini, pemuda berusia 22 tahun itu disabitkan bersalah kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad di Facebooknya, menyebabkannya dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM50,000.
Tetapi, saudaranya memberitahu The Malaysian Insight yang ini bukanlah kali pertama Cogia berdepan masalah undang-undang. Dia sebelum ini menulis catatan di Facebook menghina saudaranya sendiri yang meninggal Disember lalu. Saudara mara yang marah malah membuat laporan polis terhadapnya.
Bapa saudara Cogia, Waddle Rumen memberitahu The Malaysian Insight yang selepas ditahan 24 jam, polis melepaskannya dan menasihati pemuda itu pergi ke Hospital Kota Sentosa untuk pemeriksaan perubatan. Kes itu kemudiannya diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
“Ketika soal siasat, polis mendapati ada sesuatu tak kena dengan anak saudara saya,” kata Rumen.
Cogia, berasal dari Kampung Segong, bekas kawasan lombong emas di Bau, disifatkan bapa saudaranya sebagai penyendiri dan introvert.
“Dia tiada kawan di sekolah. Di kampung pun tidak ada kawan,” kata Rumen.
“Dia hanya bersendirian. Tak bergaul dengan orang, dengan saudara mara pun tidak.
“Di Tingkatan 1, saya diberitahu adik ipar saya (ibu Cogia, Alen Rijod) yang bila dia ke sekolah, dia akan duduk bawah meja, bukan atas kerusi.”
Cogia tidak berminat belajar dan tidak bergaul dengan rakan sekelas. Dia kemudiannya berhenti sekolah.
Sejak itu sehinggalah dia ditahan pada 3 Mac lalu, Rumen berkata Cogia hanya menghabiskan masa berkurung dalam biliknya ditemani komputer dan telefon bimbit.
“Dalam sembilan tahun dia berhenti belajar dan sehinggalah ditahan, dia tak pernah mahu cari kerja. Dia tak pernah bekerja.
“Dia habiskan masanya, setiap hari berkurung dalam bilik.
“Dia hanya keluar bilik untuk makan dan pergi tandas,” kata Rumen lagi.
Beliau menambah yang Cogia kadang-kadang akan mengamok di rumah, menyerang ibunya dan memecahkan barangan dalam rumah.
Selepas berdepan masalah undang-undang Disember lepas dan bertindak atas nasihat polis untuk membuat ujian mental ke atas perangai pelik Cogia, Rumen membawa anak saudaranya itu ke Hospital Kota Sentosa pada Februari.
Beliau, bagaimanapun, diminta pergi ke Hospital Bau, yang terletak 23km jauhnya untuk surat rujukan.
“Selepas itu, sudah hendak pujuk dia ke hospital. Dia akan mengamuk kalau kami cuba pujuk dia untuk pergi,” kata Rumen.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Azahari Kamal Ramli hari ini mengarahkan Cogia dihantar untuk pemeriksaan mental selama sebulan di Hospital Kota Sentosa.
Keputusan itu dibuat selepas pasukan peguam Cogia memohon semakan semula hukuman 10 tahun dijatuhkan mahkamah sesyen.
Cogia, yang menggunakan nama Facebook “Ayea Yea” diarahkan menghadap mahkamah untuk pendengaran kes 16 April depan.
Pasukan peguam PKR diketuai Adun Batu Lintang See Chee How, membantu semakan semula hukuman Cogia.
Cogia tidak diwakili peguam ketika dibicarakan di mahkamah sesyen minggu lepas di mana dia mengaku bersalah kepada semua 10 pertuduhan menghina Islam dan Nabi Muhammad.
Pasukan peguamnya memohon semakan kehakiman selepas wujud keraguan keadaan mental Cogia diambil kira sebelum hukuman dijatuhkan. – 13 Mac, 2019.
Komen