TIADA kaum di Malaysia yang boleh mentadbir negara ini sendirian, kata Annuar Musa ketika kerjasama Umno dan PAS jadi sasaran kerana didakwa melebih-lebihkan kepentingan Melayu Islam.
Setiausaha agung Umno itu berkata kerjasama yang baharu dibentuk antara PAS dan Umno perlu mempertimbangkan kerjasama dengan semua parti politik bagi memenuhi kepentingan orang bukan Islam.
“Di negara ini, tidak ada satu kaum yang boleh mentadbir negara, kita perlu bekerjasama dengan semua orang,” katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
“Langkah seterusnya adalah untuk tidak menghalang kerjasama (politik) Umno-PAS, tetapi kita perlu mempertimbankan perkara yang lebih luas dengan Umno-PAS juga bekerjasama dengan parti politik bukan Islam (bukan Melayu),” katanya ketika menjawab soalan wartawan tentang bagaimana kerjasama ini akan dilakuka di negeri yang dikuasai kedua-dua parti.
Barisan Nasional (BN) menerusi Umno dan sekarang PAS mentadbir kerajaan negeri Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“Kecuali kerajaan negeri Kedah dan Perak (yang ditadbir Pakatan Harapan), status quo akan kekal, kerana ia bergantung kepada wakil rakyat di sana.”
“Jika mereka andaikan perubahan akan berlaku, terpulang kepada mereka kerana buat masa sekarang Pakatan (PH) ada majoriti mudah kerana beberapa bekas wakil rakyat Umno lompat parti,” katanya.
Annuar juga mengulangi yang 10 ahli Jawatankuasa Teknikal akan bertemu sebelum hujung bulan ini untuk perbincangan rancangan masa depan.
Umno dan PAS baru-baru ini mengumumkan “perkahwinan” politik mereka selepas bergabung tenaga di PRK Semenyih apabila berjaya merampas kerusi DUN itu daripada PH dan mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands. – 13 Mac, 2019.
Komen