Umno mulakan Program Dialog Perjuangan4all ke seluruh negara


UMNO akan mengadakan Program Dialog Perjuangan4all bersama orang ramai di seluruh negara bermula Ahad ini sebagai salah satu pendekatan parti itu untuk memberi penerangan kepada masyarakat akar umbi.

Ketua Penerangan Umno Annuar Musa berkata, program berkenaan akan menjelaskan dasar kerajaan serta perjuangan Umno dan Barisan Nasional serta kejayaan dasar transformasi Perdana Menteri Najib Razak yang juga presiden Umno.  

 “Sesi dialog ini juga akan mengetengahkan pencapaian dan kejayaan dasar pentadbiran kerajaan BN, kepentingan roh dan semangat perjuangan serta sejarah kewujudan Umno/BN, selain mengapa Umno dan BN perlu dikekalkan sebagai kerajaan pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Annuar, program dialog yang pertama Ahad ini akan dadakan di Dewan Kompleks Yayasan Wangsa Perdana Taman Ibu Kota, bermula jam 8 malam.

Ia dijangka akan dihadiri 500 peserta yang terdiri daripada pemimpin masyarakat, pemimpin pelajar dan badan bukan kerajaan serta aktivis belia.

Selain beliau, dua individu lain turut dijemput sebagai ahli panel iaitu Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari serta Exco Pemuda Umno, Shahril Hamdan, manakala Datuk Dahlan Maamor sebagai moderator. – 9 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen