PEMUDA yang dihukum penjara 10 tahun dan dengan RM50,000 kerana menghina Islam melalui Facebook diperintah oleh Mahkamah Tinggi Kuching untuk menjalani ujian mental.
Hakim Mahkamah Tinggi Azahari Kamal Ramli memerintahkan Alister Cogia, 22, menjalani pemeriksaan di Hospital Kota Sentosa selama sebulan selepas peguamnya yang baru dilantik membuat permohonan semakan hukuman atas alasan anak guamnya ada masalah jiwa.
Hakim turut memerintahkan Alister dibawa semula ke mahkamah untuk kes disebut semula pada 16 April.
Permohonan semakan semula itu difailkan bersama perisytiharan berkanun yang dibuat oleh ibunya, Alen Rijod dan bapa saudara Waddle Rumen.
Ibu Alister meminta bantuan pasukan peguam dari PKR, diketuai Adun Batu Lintang See Chee How, untuk membuat semakan semula prosiding di Mahkamah Sesyen Jumaat lalu.
Semasa dituduh di mahkamah minggu lalu, Alister tidak diwakili peguam.
Menurut See, pihaknya tidak pasti apakah mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman sudah mengambil kira keadaan mental Alister.
Beliau juga berkata Alister tidak diberitahu beliau akan dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat lalu, menyebabkan tiada peguam mewakilinya.
Tidak jelas apakah Alister faham pertuduhan yang dihadapinya dan kesan pengakuan bersalah, kata peguam itu.
Beberapa pihak termasuk peguam serta pemimpin MCA dan DAP sebelum ini turut membantah hukuman ke atas Alister, yang disifatkan melampau dan keterlaluan, tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Ibu Alister mendakwa anak lelakinya itu mengalami masalah mental sejak kecil. Anak kedua daripada lima beradik itu bersekolah setakat Tingkatan 1, tambahnya.
“Beliau suka mengurung diri dalam bilik. Ada masanya dia akan menjerit seorang diri,” kata ibunya.
Alister dikatakan diminta ke Hospital Sentosa bulan lalu untuk pemeriksaan jiwa.
“Kami diminta bawa dia ke Hospital Besar Kuching untuk pemeriksaan dan dapatkan surat rujukan untuk pemeriksaan lanjut di Hospital Sentosa.
“Bagaimanapun beliau resah gelisah dan enggan ke hospital,” katanya.
Menurut See, permohonan anak guamnya untuk semakan semula hukuman kini bergantung atas laporan pemeriksaan tersebut. – 13 Mac, 2019.
Komen