ONTARIO, daerah terpadat di Kanada mengumumkan rancangan memulakan penjualan ganja di kedai dikawal selia kerajaan dan internet menjelang pertengahan 2018 apabila dadah rekreasi itu sah di sisi undang-undang.
Menteri Kehakiman Ontario, Yasir Naqvi berkata 12 kedai akan mula dibuka pada 1 Julai 2018 dan angka itu dijangka bertambah sehingga 150 kedai pada 2020.
Pengedaran menerusi internet juga akan dilakukan merentas kawasan di daerah itu, kata kerajaan tempatan dalam satu kenyataan.
Penjualan dalam talian memerlukan pemeriksaan kad pengenalan, tandatangan ketika penghantaran dan tiada bungkusan dibenarkan ditinggalkan di luar rumah dan perlu diserahkan terus kepada pembeli.
“Ketika kami membina saluran yang selamat dan bertanggungjawab untuk ganja rekreasi, matlamat kami juga untuk menghentikan penjualan haram, tidak terkawal dan ganja yang tidak selamat,” kata Naqvi pada satu sidang media di Toronto.
Ontario mempunyai penduduk berjumlah 14 juta orang daripada jumlah keseluruhan penduduk Kanada berjumlah 36 juta. Semua 10 kawasan dan tiga jajahan di daerah itu juga perlu memutuskan bagaimana pengedaran dadah itu dilaksanakan bagi mengelakkan penyeludupan haram.
Penjualan secara terus di kedai di Ontario juga memerlukan pengesahan kad pengenalan bagi memastikan pembeli berusia 19 dan ke atas- yang juga merupakan umur dibenarkan undang-undang untuk penggunaan alkohol di Ontario.
Naqvi menambah yang penetapan had umur pada 19 tahun akan melindungi golongan muda dengan membenarkan polis merampas ganja yang dimiliki remaja bawah umur- tetapi tanpa menyebabkan mereka mempunyai rekod jenayah.
Di kebanyakan daerah dan jajahan di Kanada, kedai arak juga dikawal kerajaan.
Di bawah perundangan baru itu, orang dewasa akan dibenarkan menanam empat pokok ganja setiap seorang dan memiliki sehingga 30 gram ganja di tempat awam. – AFP, 9 September, 2017.
Komen