PRK Rantau cabaran buat Pakatan, kata Rais Hussin


Asila Jalil

Pakatan Umno-PAS tak boleh dipandang ringan kerana 53% daripada pengundi Rantau terdiri daripada Melayu, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin Mohamed Ariff. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mac, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh memandang ringan terhadap pakatan Umno-PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin Mohamed Ariff.

PRK yang akan diadakan pada 13 April depan akan menjadi cabaran bagi PH kerana 53% daripada pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah Melayu.

“Di sana ramai Melayu, dan orang Melayu masih lagi marah pada PH. Takut, rasa tak selamat dan macam-macam lagi. Jadi, kita kena atasi perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas satu forum di Petaling Jaya hari ini.

Peluang bagi PH untuk menang di Rantau adalah 50-50, kata Rais.

Barisan Nasional (BN) meletakkan pemangku presiden Umno Mohamad Hasan sebagai calonnya, manakala PH meletakkan Dr S. Streram.

Mohamad pada minggu lepas berkata Umno dan PAS telah menubuhkan jawatankuasa teknikal yang tujuannya untuk menyatukan Melayu-Islam.

Jawatankuasa tersebut dipengerusikan naib presiden dari kedua-dua parti, katanya.

Menurut Mohamad, Umno bukanlah bergabung dengan PAS, sebaliknya kerjasama rasmi mereka hanya melibatkan strategi pilihan raya.

Berkenaan PAS pula, Rais berkata parti Islam itu kini ke arah menjadi seperti “parti kultus”.

“Pemimpin mereka boleh buat apa saja. Boleh ambil duit, dan kemudian kata ia dibenarkan dalam agama.

“Itu sebabnya saya panggil mereka ini ‘menjual agama’ Islam.”

Tindakan seperti ini katanya, menyebabkan rakyat berpecah-belah.

“Sebab itulah PH perlu tubuhkan pasukan petugas untuk lebih faham tentang pakatan Umno-PAS dan kesannya kepada Malaysia.”

Rais berkata PH perlu melaksanakan Islam progresif yang kurang bercakap mengenai agama tetapi lebih memikirkan kaedah untuk melaksanakan nilai-nilai Islam.

“Biar rakyat lihat Islam dari cara penyampaian.” – 12 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen