TIADA masalah jika kerajaan mahu mengurangkan jumlah penjawat awam jika berlaku pertindanan tugas, tetapi analisis sewajarnya perlu dijalankan untuk menentukan skop tugas mereka, kata Najib Razak.
“Lebih separuh daripada penjawat awam adalah guru dan jururawat… Kita ada populasi muda.
“Kita banyak bina sekolah tambahan dan ini memerlukan guru. Jadi, tak semudah itu nak kecilkan saiz penjawat awam,” kata Najib ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata perbandingan setara perlu dilakukan untuk menentukan tugas penjawat awam kerana di Malaysia, polis dan tentera juga termasuk dalam senarai penjawat awam.
“Kalau anda buat perbandingan, anda kena buat perbandingan setara. Dalam kebanyakan negara, polis dan tentera tak termasuk dalam penjawat awam.
“Tetapi dalam kes di Malaysia, kita masukkan semua orang,” kata bekas perdana menteri itu.
Dengan analisis itu katanya, jumlah penjawat awam Malaysia tidak akan dilihat berlebihan.
Najib merujuk kepada komen Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata penjawat awam di negara ini terlalu ramai.
Tambah Dr Mahathir, ketika beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2003, jumlah penjawat awam ketika itu hanya sejuta orang, tetapi kini seramai 1.7 juta.
Kerajaan lama ketika di bawah Barisan Nasional mewujudkan agensi yang tiada keperluan dan memberi gaji yang tinggi, menyebabkan saiz penjawat awam meningkat.
Dr Mahathir turut menyebut dasar penswastaan yang diperkenalkan pada 1983, yang mana kerajaan mengurangkan perbelanjaan operasi, menambah baik kecekapan dan produktiviti serta meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan cara memindahkan perkhidmatan tertentu ke dalam sektor swasta. – 12 Mac, 2019.
Komen