Rakyat tak sokong jika jual MAS, kata Najib


Diyana Ibrahim Timothy Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak yang juga bekas pengerusi Khazanah Nasional berkata, tidak ada sebab untuk kerajaan menjualnya walau syarikat penerbangan itu mencatat kerugian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2019.

RAKYAT tidak akan menyokong jika kerajaan menjual Malaysia Airlines Berhad untuk mengelakkan ia terus mengalami kerugian, dakwa bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib yang juga bekas pengerusi Khazanah Nasional berkata, tidak ada sebab untuk kerajaan menjualnya walau syarikat penerbangan itu mencatat kerugian.

Katanya, kerajaan juga sepatutnya meneruskan usaha pemulihan yang dilaksanakan sejak 2014 untuk menyelamatkan syarikat berkenaan.

“Tidak patut (jual), ia langkah yang salah. MAS adalah kebanggaan kita jadi kena teruskan . 

“Kita ada langkah pemulihan, kembali pada pelan tersebut. Kita amat yakin semasa menjadi kerajaan (laksana) dan ia berjaya,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan mengkaji pilihan untuk menutup syarikat penerbangan negara itu.

Turut dipertimbangkan kerajaan adalah pilihan untuk menswastakan syarikat berkenaan yang turut ditolak oleh Najib.

Menurutnya kerajaan sudah pun menanggung kos tinggi untuk memperolehi semula syarikat berkenaan selepas diswastakan oleh Dr Mahathir pada 1980-an. 

“MAS pernah diswastakan semasa zaman Tun Mahathir dan lepas itu kita kena beli balik dan terpaksa bayar RM1.6 bilion.

“Ia tidak menjadi, jadi kita kena pula kena selamatkan,” katanya.

Penganalisis industri dilaporkan menjangka, MAS tidak lagi dapat terus menjadi syarikat penerbangan negara kerana gagal mencatat keuntungan selama tiga tahun berturut-turut.

Tahun lepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan pelan pemulihan MAS dari segi kewangan, masih belum dapat mencapai sasaran pulangan modal.

Pelan pemulihannya termasuk mengurangkan sehingga 30% daripada 20,000 tenaga kerjanya dan mengurangkan destinasi penerbangan yang tidak menguntungkan. – 12 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen