'Pembunuhan maruah', Kanada benarkan ekstradisi 2 rakyatnya ke India


Pembunuhan maruah seringkali dilakukan ahli keluarga terdekat bagi melindungi ‘maruah keluarga’ disebabkan perhubungan yang tidak direstui mereka. – Gambar EPA, 9 September, 2017.

MAHKAMAH Agung Kanada mengeluarkan penghakiman yang dua warganya boleh diekstradisi ke India berkaitan peranan mereka dalam kes pembunuhan maruah 17 tahun lalu.

Surjit Singh Badesha, 72, dan Malkit Kaur Sidhu, 67, dihendaki kerana mempunyai kaitan dengan pembunuhan Jaswinder Kaur Sidhu yang ketika dibunuh hanya berusia 25 tahun.

Kedua suspek, warga Kanada berketurunan India merupakan bapa saudar dan ibu kepada wanita malang itu.

Mayat Jaswinder ditemui dengan kesan kelar di leher pada Jun 2000 di negeri Punjab.

Pendakwaraya India mengatakan dia adalah mangsa pembunuhan maruah yang dirancang ibu dan bapa saudaranya, yang bengang selepas wanita itu mengahwini seorang penarik beca miskin. Perkahwinan itu dirahsiakan mangsa selama setahun.

Selepas mendedahkan perkahwinannya, mangsa dilaporkan pulang ke India untuk bersama suaminya, Mithu Sidhu.

Pasangan itu diserang ketika menaiki motorsikal di sebuah perkampungan berhampiran Sangur, Punjab pada Jun 2000. Suaminya dibelasah sehingga mati dan Sidhu pula diculik sebelum ditemui mati.

Ibu dan bapa saudara mangsa dipercayai mengupah sekumpulan samseng untuk melakukan serangan itu.

Tujuh lelaki disabitkan kesalahan bunuh itu di India, tetapi beberapa orang daripada mereka dibebaskan selepas rayuan.

Keluarga itu menafikan terlibat dalam pembunuhan itu.

Tiga lelaki yang terlibat dalam serangan itu didapati bersalah kerana membunuh di India, dan sejak bertahun lamanya pihak berkuasa India cuba mengekstradisi dua warga Kanada itu.

Menteri kehakiman Kanada membenarkan ekstradisi itu pada 2014, tetapi keputusan itu dibatalkan melalui rayuan mahkamah pada 2016.

Jumaat lalu, sembilan hakim Mahkamah Agung mengundi bersepakat membenarkan proses ekstradisi itu dilaksanakan.

“Dalam kes ini, menteri mempunyai sebab mencukupi untuk menyimpulkan berdasarkan jaminan kerajaan India yang tiada risiko seksaan atau salah laku akan berlaku kepada suspek yang akan mencabuli prinsip keadilan sejagat dalam Perlembagaan Kanada,” kata penghakiman itu.

Dalam kes pembunuhan maruah yang seringkali dilakukan kerana hendak melindungi “maruah keluarga”, antara punca pembunuhan yang sering berlaku adalah hubungan merentas kasta atau agama. – AFP, 9 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen