Lihat keperluan untuk kekalkan MAS, kata bekas pengarah urusan Khazanah


Asila Jalil

KERAJAAN perlu melihat keperluan untuk mengekalkan syarikat penerbangan negara berikutan ketidakupayaan Malaysia Airlines untuk membuat keuntungan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kata bekas pengarah urusan Khazanah Nasional Bhd, Mohd Sheriff Mohd Kassim.

Beliau berkata, kerajaan harus mempertimbangkan kemungkinan menutup syarikat penerbangan itu.

“Semakin ramai orang bercakap tentang penutupan syarikat penerbangan itu.

“Ya mungkin itu pilihan yang akan dipertimbangkan kerajaan,” katanya kepada pemberita di Petaling Jaya hari ini.

Menurutnya, harus diingat MAS sudah diselamatkan bukan hanya sekali tetapi dua kali dan tidak pernah berjaya selepas setiap kali bailout.

“Ia menunjukkan tidak mudah untuk mendatangkan keuntungan,” katanya.

Malaysia Airlines diambil alih oleh Khazanah pada 2014 sebagai sebahagian daripada program pemulihannya.

Ia sudah melabur RM6 bilion untuk menyokong pelan pemulihan syarikat penerbangan yang bertujuan mengembalikan syarikat penerbangan untuk keuntungan dalam masa tiga tahun.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga hari ini berkata berkemungkinan menutup MAS dengan menyatakan Putrajaya akan melihat pilihan yang boleh diperoleh.

“Menutup syarikat penerbangan nasional adalah perkara serius.

“Kami akan mengkaji sama ada kita perlu menutupnya, menjualnya atau membiayai semula,” katanya di Parlimen hari ini. – 12 Mac, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen