BEKAS Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata tawarannya untuk menjejaki ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho, masih lagi terbuka untuk membantu Putrajaya membongkar skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Menjejaki Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, bukanlah mudah kerana ia melibatkan negara lain.
“Bukan semudah itu (cari Jho Low) kerana ia melibatkan pihak ketiga dan kerajaan lain,” beliau memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ini merupakan tawaran kali kedua dibuat ahli Parlimen Sembrong itu dan beliau mengulangi komitmennya untuk menyiasat skandal 1MDB kerana baginya ini melibatkan kepentingan negara.
Hishammuddin pertama kali menawarkan diri untuk membantu menjejaki Low pada Oktober tahun lepas.
“Saya mahu cari kebenaran mengenai 1MDB. Saya konsisten mengenai itu, dan jika perlu, saya akan jalankan tugas saya. Tapi ini bukannya perkara yang boleh dilakukan seorang diri.
“Kalau mereka (kerajaan) ada masalah untuk dapatkan kerjasama dari negara lain, saya akan tawarkan diri. Apa masalahnya kalau saya bantu? Kita mahukan kebenaran dan keadilan.”
Beliau juga berkata sudah menghubungi dengan ketua polis negara dan berbincang mengenai perkara tersebut.
Low dipercayai menjadi dalang di sebalik penyelewengan wang 1MDB dan telah didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat. – 12 Mac, 2019.
Komen