Kekejaman di pusat tahanan Libya, PBB tuduh Eropah 'tutup mata'


Kesatuan Eropah dan Itali melatih dan membiayai pengawal pesisir pantai Libya untuk menghalang penyeludupan pelarian ke Eropah. Pelarian yang ditahan dihantar ke pusat tahanan yang disifatkan PBB dan Doctors without Borders sebagai tempat penyiksaan, penderaan dan pemerasaan. – Gambar EPA, 9 September, 2017.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menduduh Kesatuan Eropah (EU) “menutup mata” terhadap keganasan yang dialami pendatang ditahan di Libya dan menggesa “tindakan segera” diambil untuk melindungi mereka.

“Ada pendatang yang mati dahaga, kelaparan atau disebabkan penyakit yang boleh diubati, ada juga yang diseksa atau dibelasah sehingga mati sementara yang lain bekerja sebagai buruh paksa, ada juga yang dibunuh begitu sahaja,” kata Ketua Hak Asasi Manusia PBB Zeid Ra’ad Al Hussein.

Zeid mendedahkan salah laku penderaan ini- termasuklah kes wanita “dalam beberapa kes dirogol setiap malam- yang dialami ribuan pendatang yang menderita di tangan pihak berkuasa Libya di pusat tahanan pendatang di negara itu.

Katanya situasi itu yang sudah buruk semasa pemerintahan diktator Moamer Kadhafi dan menjadi semakin dahsyat sejak penyingkirannya.

Itali dan Kesatuan Eropah membiayai, memberikan latihan dan bantuan kepada pegawai pesisir pantai Libya bagi menghalang penyeludup daripada membawa pendatang dan pelarian menggunakan bot getah merentasi Mediterranean ke Eropah.

Pendatang yang ditahan kemudiannya dihantar ke pusat tahanan.

Jumlah pendatang yang tiba di Itali pada Julai lalu jatuh mendadak berbanding tahun lepas, menggambarkan usaha melatih pengawal pantai negara Afrika Utara itu sudah memberikan kesan.

Tetapi Zeid berkata usaha berkenaan- termasuk rancangan yang dicadangkan pemimpin Eropah dan Afrika bulan lepas bagi menghalang pendatang merentasi Mediterranean- adalah satu “kegagalan” kerana ia tidak melibatkan aspek “kemanusian”.

Kenyataan ketua hak asasi organisasi dunia itu senada dengan kenyataan organisasi perubatan, Doctors without Borders (MSF) yang dibuat sehari sebelum itu.

Presiden MSF, Joanne Liu pada Khamis lalu mengeluarkan surat terbuka yang menggambarkan “situasi dahsyat” yang dialami pelarian dan pendatang di pusat tahanan yang dilawatinya minggu lepas.

Pusat tahanan pendatang di Libya “perlu dinamakan setepatnya: perusahaan penculikan, siksaan dan pemerasan,” tulisnya dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada EU.

Zeid bersetuju dengan penilaian Liu.

“Saya sokong sepenuhnya analisis dia dan berkongsi kejelikannya dalam apa yang disifatkan (Liu) sebagai ‘subahat bersama’ mereka yang menyokong penghantaran pendatang ke Libya dan pada masa yang sama menutup mata apa yang sedang terjadi di sana,” katanya.

Zeid mendesak “tindakan serius” dilakukan bagi melindungi pendatang, berkata:

“Kita tidak boleh terus menutup mata daripada kekejaman yang sedang berlaku ini”. – AFP,  9 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen