Kertas putih Felda dibentang selepas bahas titah Agong


Diyana Ibrahim Timothy Achariam

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata kertas putih Felda dijangka dibentangkan di Parlimen dalam penggal ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Mac, 2019.

KERTAS putih Felda dijangka dibentangkan di Parlimen dalam penggal ini selepas selesai perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

“Kita harapkan selepas perbahasan titah Agong dan kita akan cari masa sesuai untuk bentangkan,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Disember lalu Azmin berkata keputusan menangguhkan pembentangan kertas putih Felda selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara.

Pada masa itu, beliau menjelaskan penangguhan itu bagi menyelesaikan beberapa isu perundangan melibatkan kertas putih berkenaan.

Siasatan ke atas Felda dibuat bagi meneliti masalah aliran tunai agensi itu yang amat kritikal dan serta hutangnya berjumlah lebih RM8 bilion.

Bagi mengatasi masalah itu, Felda menjual aset yang tidak strategik termasuk hartanah di luar dan dalam negara.

Pada September, Felda mengumumkan penjualan aset termasuk hotel, pangsapuri dan asrama pelajar berjumlah kira-kira RM2.2 bilion.

Ia dijangka membantu mengurangkan hutangnya kepada RM6.5 bilion pada akhir tahun daripada hutang itu. – 12 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen