PUTRAJAYA akan melihat pilihan yang ada untuk masa depan Malaysia Airlines kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, berikutan syarikat penerbangan negara itu terus berdepan masalah kewangan.
Beliau berkata, kerajaan akan mengkaji pilihan ini yang mana ia termasuklah menutup syarikat penerbangan negara itu.
“Ia adalah perkara serius untuk menutup syarikat penerbangan negara. Bagaimanapun, kami akan mengkaji sama ada kita perlu menutupnya, atau menjualnya atau membiayai semula,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini apabila ditanya sama ada syarikat itu perlu ditutup.
Dalam satu laporan akhbar harian berbahasa Inggeris minggu lalu, penganalisis penerbangan mencadangkan bahawa hari-hari MAS sebagai syarikat penerbangan negara mungkin tamat kerana ia gagal memenuhi sasaran tiga tahun untuk membuat keuntungan, namun sebaliknya masalah kewangannya berterusan sejak diswastakan pada 2014.
Menurut mereka, cara terbaik bagi syarikat penerbangan itu ialah menutup oeprasi atau menjual nya kepada pihak yang berminat atau merombak bahagian perniagaannya.
Mereka juga mengatakan bahawa perniagaan merugikan tidak boleh dibiarkan berterusan.
Bermula dengan penyisihannya dari Bursa Malaysia dari 2015 hingga 2017, MAS telah mencatatkan kerugian sebanyak RM2.3 bilion berikutan kelemahan ringgit dan kos bahan api pesawat yang lebih tinggi.
Khazanah minggu lalu mengumumkan bahawa separuh daripada jumlah kemerosotan nilai sebanyak RM7.3 bilion pada 2018 adalah disebabkan syarikat penerbangan itu.
Khazanah juga telah meminta MAB untuk mewujudkan rancangan strategik baru. – 12 Mac, 2019
Komen