Pembebasan Siti Aisyah ikut undang-undang, kata Dr Mahathir


Timothy Achariam Diyana Ibrahim

Warga Indonesia Siti Aisyah menjawab soalan media bersama peguamnya semalam selepas mahkamah membebaskan tanpa melepaskannya daripada tuduhan membunuh abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam. – Gambar EPA, 12 Mac, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pembebasan Siti Aisyah daripada tuduhan membunuh warga Korea Utara Kim Jong Nam adalah keputusan mahkamah dan mengikut kedaulatan undang-undang.

“Ini keputusan yang dibuat oleh mahkamah, mereka yang mempertimbangkan dan pertuduhan itu ditarik,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata ia dilakukan mengikut kedaulatan undang-undang kerana ada peruntukan yang membenarkan pertuduhan digugurkan atau ditarik balik.

“Ia proses yang mengikut undang-undang, ada undang-undang membenarkan pertuduhan digugurkan, itu apa yang berlaku,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur semalam berkata pembebasan Siti Aisyah daripada tuduhan bunuh itu hasil proses rundingan antara Jakarta dan Putrajaya atas arahan Presiden Joko Widodo.

Dalam satu kenyataan selepas Siti Aisyah dibebaskan tanpa dilepaskan, kedutaan berkata Widodo mengarahkan usaha dilakukan untuk pembebasannya serta-merta selepas wanita itu ditahan pada 15 Februari, 2017 iaitu dua hari selepas Jong Nam yang juga abang tiri Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dibunuh di klia2.

“Selaras dengan arahan presiden, isu itu sering dibangkitkan pada setiap mesyuarat dua hala antara Indonesia dan Malaysia, di setiap peringkat daripada presiden hingga menteri luar atau di peringkat kementerian,” katanya. – 12 Mac, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen