PEMERINTAH Qatar membuat panggilan telefon kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bagi meluahkan hasrat untuk melaksanakan perbincangan bagi mengakhiri krisis diplomatik yang sudah berlanjutan tiga bulan, kata media arab Saudi awal pagi ini.
Putera Mahkota itu “mengalukan hasrat tersebut,” lapor Agensi Berita Saudi (SPA). Laporan turut menambah yang “perkara itu akan dijelaskan lebih lanjut selepas Arab Saudi mencapai persetujuan dengan UAE, Bahrain dan Mesir’, empat negara Arab itu memutuskan semua ikatan diplomatik dengan Qatar Jun lalu.
Panggilan telefon dibuat Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis lalu menawarkan diri untuk menjadi orang tengah penyelesaian krisis itu, mengatakan yang beliau percaya kemelut itu boleh diselesaikan dengan “agak mudah.”
Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir pada 5 Jun lalu memutuskan semua ikatan diplomatik dan ekonomi dengan Qatar, menuduh negara kecil Teluk yang kaya minyak itu bersekongkol dengan kumpulan pelampau Islam dan mempunyai ikatan “yang terlalu rapat” dengan Iran.
Mereka juga menutup semua laluan perhubungan air, laut dan darat serta mengenakan sekatan ekonomi ke atas Qatar.
Qatar, bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mendakwa tindakan keempat-empat negara tersebut sebagai mencabar kedaulatannya. – AFP, 9 September, 2017.
Komen