Antara makna kebebasan dan kontroversi LGBT


Hadri Shah

“Tanpa wanita takkan ada bangsa manusia. Tanpa bangsa manusia takkan ada yang memuji kebesaranMu. Semua puji-pujian untukMu dimungkinkan hanya oleh titik darah, keringat dan erang kesakitan wanita yang sobek bagian badannya kerana melahirkan kehidupan” – Pramodyea Ananta Toer.

TANPA sorakan “hidup LGBT” pada hari minggu  paling terik Sabtu lepas, barangkali rakyat Malaysia takkan peduli satu sen pun pasal “WomenMarchMy”.

Terima kasih kepada media massa dan tukang “forward” video di kumpulan Whatsapp.

Setelah diberitakan mengenai sorakan tersebut, satu Malaysia mengurut dada. Masing-masing mengucap panjang mendengar gendang “Hidup LGBT” dipalukan. Hari minggu yang sepatutnya menenteramkan kelelahan jiwa bertukar menjadi kelam kabut. Haru biru dibuatnya.

Dari pengguna akaun Twitter hingga ke menteri-menteri, agamawan dan peserta program Pencetus Ummah, masing-masing meluahkan perasaan.  Ada yang mengecam, ada yang katanya kecewa dan ada juga yang memanjang-manjangkan teori konspirasi kaum LGBT.

Sejatinya, untuk ke berapa juta kali, reaksi mereka yang membantah LGBT segalanya berkutat tentang stereotaip dosa dan pahala.

Ironinya, menteri-menteri ini tidak pula rasa berdosa apabila World Economic Forum The Gender Report 2018 melaporkan jurang gaji antara gender di Malaysia berada pada tahap membahayakan yakni 28%, sekali gus menempatkan Malaysia antara negara di tempat paling tercorot.

Aturan hidup yang menindas, kes wanita  terkontang-kanting ditinggalkan suami, perkahwinan kanak-kanak, sentimen kebencian terhadap kaum transgender di tempat kerja, di ruang awam – di mana “hujah dosa-pahala” kaum agamawan dan Pencetus Ummah ketika golongan ini diperlakukan sedemikian rupa?

Apakah mereka terlupa mengarang surat berkajang mempertahankan yang ditindas seperti mereka memujuk artis perempuan menanggalkan tudung kepala?

Agenda WomenMarchMy sebenarnya membawa mesej besar yang layak ditumpukan. Ia lebih gergasi melewati plakad kontroversi “Free My Nipple”.

Ketika manusia berbangga-bangga dengan status ketamadunan paling ulung, agenda asasi seperti kemanusiaan, kebebasan, kewajipan saling hormat menghormati dan kesediaan mengiktiraf maruah seseorang yang berbeza, masih lagi terperangkap dalam perbalahan membosankan yang tak kunjung selesai.

Perarakan WomenMarchMy adalah sebuah upaya sistematik berfungsi menyebar kesedaran sosial tentang betapa sulitnya kondisi masyarakat lewat hari ini.

Di bawah terik matahari, perarakan yang bermula dari Sogo ke Dataran Merdeka melempar sebuah kepedulian mengenai keselingkuhan ekonomi dan kebejatan strata sosial yang dialami kelas masyarakat.

Isu-isu seperti patriaki, gaji minimum, perkahwinan kanak-kanak (sekadar menyebut beberapa contoh) adalah isu-isu paling mempengaruhi kehidupan seharian.

Namun, ada sebahagian kelompok masyarakat berpandangan isu begini tidak relevan.

Ambil contoh masalah patriaki. Ada kelompok masyarakat menafikan kewujudan patriaki. Bagi mereka, memang sudah menjadi fitrah seorang isteri selayaknya tunduk kepada arahan suami walaupun kenyataannya, pendominasian total seorang lelaki ke atas seorang wanita akhirnya mencipta penderitaan. Celakanya, patriaki direstui beralaskan alasan budaya dan agama.

Akhirnya, ajakan menundukkan kekuasaan lelaki ke atas wanita dilecehkan, kononnya ia ajakan dari sekumpulan wanita yang mahu menyaingi kumpulan lelaki.

Padahal jika diperhatikan, perjuangan menuntut keadilan, kesamarataan dan kebebasan yang dipotretkan dalam perarakan WomenMarchMy itu menampakkan sisi solidariti yang bernilai.

Perhimpunan itu tidak hanya memfokus kepada kepentingan mempertahankan kaum wanita semata, melainkan mewakili keseluruhan kelas masyarakat merentasi agama, kaum mahupun orientasi seksual.

Makanya, jika keadilan yang diperjuangkan untuk kebaikan semua, jika kesamaratan diberi kepada setiap jiwa dan jika kebebasan itu adalah barang bernilai untuk dinikmati setiap manusia, maka ia sudah menjelaskan tidak ada satu pun kelas masyarakat akan dipinggirkan.

Mikhail Bakunin ketika hayatnya pernah berkata: “Kebebasan semua adalah bernilai untuk kebebasan aku.”

Tidak ada gunanya kalau kebebasan, keistimewaan dan kesenangan yang kita nikmati tidak dinikmati oleh orang lain hanya kerana sentimen perbezaan.

Dalam ertian ini, bukanlah dosa-pahala yang dijadikan penanda aras melainkan kesediaan semua menyepakati bahawa atas nama apa sekalipun, penindasan mesti ditentang.

WomenMarchMy tentunya menjadi bahan kecaman paling laris sepanjang minggu ini. Tetapi sekurang-kurangnya ia tetap memercikkan semangat jiwa-jiwa yang tidak lelah memacak tiang-tiang harapan di negeri yang berantakan. – 12 Mac, 2019

 

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen