Jawatankuasa perubahan pilihan raya kaji sistem EU, kata Azhar


Asila Jalil

ERC sedang mengkaji sistem pilihan raya diamalkan negara Kesatuan Eropah bagi penambahbaik sistem Malaysia, kata Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2019.

JAWATANKUASA Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) sedang meneliti sistem pilihan raya diamalkan negara Eropah untuk menambah baik sistem di Malaysia.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun berkata ERC yang diterajui Abdul Rashid Abdul Rahman sedang meneliti kaedah perwakilan berkadar yang banyak digunakan negara Kesatuan Eropah.

“Sistem diamalkan kita adalah sistem majoriti mudah (first-past-the-post).

“Kami sedang memerhati negara EU, (mereka) sedang bergerak ke arah kaedah perwakilan berkadar dan sebenarnya kaedah ini sedang diteliti, bukan oleh SPR, tetapi oleh ERC yang diterajui Tan Sri Rashid,” katanya pada wawancara bersama stesyen radio BFM hari ini.

Azhar berkata ERC sedang meneliti model sistem itu yang diamalkan Jerman dan beberapa negara Eropah lain.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pendengar yang bertanya sekiranya SPR ada rancangan mengubah sistem pilihan raya negara ini.

Azhar juga mengulas pandangan seorang pendengar wawancara yang mahukan beliau lebih tegas dalam menjalankan tugasnya sebagai pengerusi SPR.

Menurutnya, beliau sudah cukup tegas dan meletakkan sempadan perkara yang boleh dibuat dan tidak boleh dibuat kepada semua parti politik.

“Dalam ruang lingkup kuasa yang saya ada, saya rasa saya sudah buat semua yang saya boleh.

“Sudah tentu, jika rakyat fikir lebih banyak kuasa perlu diberikan kepada SPR, saya tidak akan kata saya mengalu-alukannya, tetapi jika diberikan (kuasa) kami akan laksanakan kuasa menurut undang-undang yang diluluskan bagi tujuan tersebut.

“Saya fikir dalam hal itu, ERC juga sedang meneliti isu sama ada SPR wajar diberikan kuasa menyiasat, kuasa pendakwaan dan kuasa mengenakan denda terhadap pesalah. Jadi, semua ini sedang diteliti,” tambahnya. – 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen