Rayuan semak hukuman penjara 10 tahun hina Islam di Kuching didengar Rabu


Desmond Davidson

Pasukan peguam itu diketuai Adun Batu Lintang See Chew How, pagi tadi memfailkan kertas 'kecemasan' untuk semakan kehakiman menerusi firma Francis Teron Kadap & Co. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2019.

RABU ini, Mahkamah Tinggi Kuching akan mendengar hujah pasukan peguam seorang belia, yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM5,000 kerana menghina Islam di Facebook, bagi memohon semakan semula prosiding mahkamah sesyen yang menjatuhkan hukuman itu.

Pasukan peguam itu diketuai Adun Batu Lintang See Chew How, pagi tadi memfailkan kertas “kecemasan” untuk semakan kehakiman menerusi firma Francis Teron Kadap & Co.

Peguam kanan firma itu, Francis Teron bersama-sama peguamDesmond Kho dan Jefferey Mok akan berhujah untuk memastikan sama ada keadilan dijunjung dalam kes tersebut selepas mereka meragui sama ada Mahkamah Sesyen Kuching ketika menjatuhkan hukuman ke atas Alister Cogia, 22, mengambil kira keadaan mentalnya.

Alister yang tidak diwakili peguam, pada Jumaat lepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga kerana memuatnaik kandungan menyinggung agama Islam dan Nabi Muhammad menerusi akaun Facebooknya.

See membentuk kumpulan peguam itu selepas keluarga Alister meminta bantuannya, mendakwa Alister mempunyai penyakit tingkah laku yang memerlukan rawatan psikatari.

Ibu Alister, Alen Rigod, juga mendakwa beliau dan ahli keluarganya tidak dibenarkan melawat Alister ketika dalam tahanan reman.

See sebelum ini mendakwa Alister tidak dimaklumkan yang beliau akan dihadapkan di mahkamah pada Jumaat lepas menyebabkan beliau tidak diwakili peguam.

“Wujud keraguan sama ada Alister memahami keseriusan pertuduhan ke atasnya dan signifikan pengakuan bersalahnya,” tambah See.

See dan pasukannya memohon supaya kes itu didengar balik supaya mereka boleh meminta mahkamah mendengar pandangan pakar psikatari untuk menilai keadaan Alister.

Ibu Alister mendakwa anaknya menderita penyakit mental sejak usia muda.

Anak kedua daripada lima adik beradik itu tidak lagi bersekolah sejak Tingkatan Satu dan sering mengunci dirinya dalam bilik, dan menjerit ketika bersendirian.

Alister dilaporkan diminta doktor untuk pergi ke Hospital Sentosa bulan lepas untuk pemeriksaan psikatari, tetapi tidak berbuat demikian dan enggan juga pergi ke Hospital Bau untuk mendapatkan surat rujukan.

Alister dilaporkan disoal siasat polis dua minggu lalu tetapi dibebaskan tanpa didakwa.

Polis kemudiannya menahannya pada 3 Mac lalu. – 11 Mac, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen