BEKAS calon Pakatan Harapan untuk Dun Rantau, Dr S Streram akan bertanding semula di kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung 13 April.
Presiden PKR Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan itu di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, hari ini.
“Setelah ambil kira semua faktor kita secara konsensus berpendapat kita akan kemuka calon India untuk bertanding.
“Kita ambil kira beberapa faktor, antaranya kelayakan akademik, rekod kerja, kebetulan perkembangan sejak PRU lalu di mana calon yang dikemukakan itu di nafi hak bertanding secara tidak adil,” kata Anwar lagi.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Biro Politik PKR pada 6 Mac lalu dan mesyuarat Majlis Presiden PH pada 9 Mac.
PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan Februari lalu menolak rayuan difailkan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban yang membatalkan kemenangan Barisan Nasional di kerusi itu pada PRU14 lalu.
Keputusan pembatalan itu dibuat selepas Streram yang juga naib ketua PKR Cabang Rembau memfailkan petisyen mencabar keputusan PRU14, kerana beliau tidak dibenarkan menghantar borang penamaan calon oleh pengurus pilihan raya bertugas, menyebabkan Mohamad menang tanpa bertanding.
Anwar yang juga penasihat PH, berkata wujud cadangan supaya PH meletakkan calon Melayu, susulan desakan tercetus kerana pembentukan kerjasama Umno dan PAS.
Bagaimanapun, menurutnya PKR dan PH merasakan tidak wujud keperluan untuk bertindak balas kepada provokasi ditimbulkan Umno dan PAS.
“Tetapi, kami mahu menekankan yang kami tidak melupakan orang Melayu, dan calon kami perlu menjaga kepentingan semua orang.
Tambahnya, satu lagi pertimbangan adalah isu pemindahan kerusi pada PRU14 lalu.
“Satu lagi isu untuk Rantau berkaitan dengan pilihan raya lepas, apabila kami memindahkan calon Jeram Padang ke Rantau kerana kerusi itu ada 27% pengundi India.”
Katanya, kerusi lain di Negeri Sembilan ditandingi oleh calon Melayu termasuklah di Port Dickson, yang secara tradisi milik calon India.
“Kerana itu, kami mahu mengekalkan prinsip menjaga semua kaum, dan kami memutuskan untuk mengekalkan calon India di Rantau.”
Anwar juga menjelaskan yang PRK Rantau bukanlah referundum terhadap pentadbiran 10 bulan kerajaan PH.
“Ini adalah kerusi bekas menteri besar dan tak adil berkata begitu. Terutama sekali apabila kami menang di Sg Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.
“Kita hanya kalah di Cameron Highlands dan Semenyih.”
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Rantau akan berlangsung pada 13 April ini. Hari penamaan calon ditetapkan pada 30 Mac, manakala hari mengundi awal ditetapkan pada 9 April.
Rantau mempunyai 20,926 pengundi, terdiri daripada 54% Melayu, Cina (19%) dan India (27%).
PRK Rantau adalah PRK ketujuh diadakan selepas PRU14. – 11 Mac, 2019.
Komen