Sabah Sarawak tuntut lebih banyak kerusi Parlimen selaku rakan setara


Desmond Davidson

Sabah dan Sarawak menuntut hak satu per tiga kerusi Parlimen juga dikembalikan kepada mereka selaras dengan cadangan pindaan perlembagaan mengembalikan status setara mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Mac, 2019.

CADANGAN pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status setara kepada Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia juga perlu mengembalikan kuota satu per tiga kerusi Parlimen kepada negeri Borneo, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing.

Beliau merujuk kepada persetujuan bersama ketika pembentukan Malaysia pada 1963, apabila Malaya diberikan dua per tiga kerusi Parlimen, manakala Sabah, Sarawak dan Singapura pula diberikan satu per tiga kerusi sebagai langkah menjaga perlembagaan.

Dengan keluarnya Singapura, satu per tiga kerusi milik asalnya milik republik itu perlu dibahagikan dan dikongsi bersama Sabah dan Sarawak untuk memastikan penjagaan perlembagaan dapat dilakukan, kata Masing lagi.

Tetapi, perkara ini tidak dilakukan dan buat masa sekarang, Sabah dan Sarawak hanya mempunyai kurang 25% atau 56 kerusi Parlimen. Terdapat 222 kerusi dalam Dewan Rakyat.

“Dengan keluarnya Singapura pada 1965, pembentukan Wilayah Persekutuan dan peningkatan kerusi setiap tahun, Sarawak (hanya tinggal) 18% kerusi, atau hanya 31 kerusi.

“Kerana itu, cadangan pindaan perlembagaan perlu mengiktiraf Sarawak dan Sabah sebagai wilayah setara Malaya yang perlu dimasukkan dalam pindaan yang akan meningkatkan kerusi (Parlimen untuk kedua-dua negeri Borneo ini),” katanya lagi.

Pembahagian kerusi Parlimen terdapat dalam Laporan Jawatankuasa Inter Kerajaan (IGC) ketika penubuhan Malaysia bagi memastikan perlembagaan tidak dipinda sesuka hati oleh wakil rakyat Malaya semata-mata.

Memberikan satu pertiga atau 74 kerusi Parlimen kepada kedua-dua negeri Borneo itu akan memberikan mereka “kuasa veto” sekiranya mereka mengundi sebagai satu blok untuk menghalang pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga yang tidak diterima mereka, tambah Masing.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu berkata dalam kes Sarawak, kerusi Parlimen perlu dinaikkan kepada 38 berbanding 31 sekarang. Bakinya perlu diserahkan kepada Sabah.

Lebih banyak kerusi untuk kekang retorik kaum, agama

Menambah bilangan kerusi untuk Sarawak dan Sabah adalah langkah mustahak memandang situasi semasa dalam kalangan parti Melayu-Islam yang menggunakan isu kaum dan agama untuk meraih sokongan di Semenanjung Malaysia, katanya.

Beliau menggunakan isu kerjasama Umno dan PAS yang menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Bersama untuk meneroka pelbagai kemungkinan kaedah kerjasama politik.

“Peruntukan kerusi (untuk Sabah dan Sarawak) kerana itu mustahak untuk menentukan siapa yang mengawal pentadbiran politik.

“Pada 1963, Perikatan yang kemudian dijenamakan sebagai Barisan Nasional (BN), adalah organisasi politik pelbagai kaum.

“Kini dengan gabungan Umno-PAS, senario politik Malaysia sudah berubah. Sangat kritikal untuk Sarawak dan Sabah diberikan peruntukan kerusi Parlimen seperti mana dipersetujui pada 1963.”

Masing, bagaimanapun, berkata kedua-dua negeri tidak mahu menangguhkan lagi cadangan pindaan perlembagaan untuk mengembalikan status setara mereka dan memberi jaminan ahli Parlimen partinya akan menyokong pindaan tersebut, dengan syarat.

“Kami mahu mengingatkan Putrajaya yang tanpa peningkatan kerusi, ia bukanlah rang undang-undang yang lengkap.

“Jika Putrajaya ikhlas terhadap Sarawak dan Sabah, ia perlu mengambil kira keperluan peningkatan kerusi Parlimen ketika membentangkan pindaan perlembagaan.”

Pandangan Masing turut dipersetujui Adun Piasau Sebastian Ting, yang berkata tanpa satu per tiga kerusi Parlimen diberikan kepada Sabah dan Sarawak “hak kami dalam Perlembagaan Persekutuan akan terus berdepan risiko kerana Semenanjung boleh sesuka hati membatalkannya.”

Setiausaha agung Parti Bersatu Rakyat Sarawak itu berkata, permohonan itu adalah adil dan saksama memandangkan Sarawak dan Sabah akan menjadi rakan setara Semenanjung.

“Kami mahu suara yang lebih kuat dalam Parlimen untuk melindungi kepentingan kami selaku rakan setara.”

Desakan serupa sudah dikemukakan Presiden Star Sabah Jeffrey Kitingan sejak 2015, supaya satu per tiga kerusi Parlimen dikembalikan kepada negeri-negeri Borneo dalam usaha perubahan dan penambah baikan Parlimen. – 12 Mac, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen